Populariti di sebalik kontroversi Sepah

KUMPULAN lawak trio, Sepah mencipta banyak populariti tersendiri dalam dunia hiburan tanah air. Mereka misalnya, muncul juara pertandingan Raja Lawak musim ketiga dua tahun lalu dan juara Maharaja Lawak pada 24 Mei lalu.

Berita salah seorang anggotanya, Mamat yang putus cinta dengan pelakon muda, Fida heboh diperkatakan lebih dua minggu lalu sehinggalah saat ini. Malah, Sepah yang telah berpecah turut menjadi tumpuan ramai baru-baru ini.

Sepah yang kini dianggotai Mamat, manakala Jep dan Shuib yang menubuhkan kumpulan baru dikenali sebagai Sepahtu sememangnya sentiasa ribut dengan pelbagai cerita sensasi lagi kontroversi yang menjadi perhatian banyak pihak.

Pada masa sama, di saat nama Sepah sedang melonjak itu, PTV Film Productions sedang bersiap-siap menerbitkan sebuah filem berjudul Sepah The Movie. Penerbitnya, Hasni Maulod tidak menafikan sebagai oportunis dalam hal itu.

“Dalam hal ini kami memang oportunis. Kalau tidak mana mungkin kami mahu berbelanja berjuta-juta ringgit bagi menerbitkan filem ini,” katanya pada sidang akhbar pelancaran Sepah The Movie di Bukit Kiara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sungguhpun begitu, jelas Hasni, pihaknya bukan mengambil kesempatan di atas cerita-cerita kontroversi membabitkan kegagalan percintaan Mamat dan Fida mahupun perpecahan Sepah yang mengejutkan banyak pihak itu.

Sebaliknya katanya, semua kisah peribadi itu terjadi selepas dua bulan PTV Film Productions menandatangani perjanjian dengan Jep, Shuib dan Mamat bagi membintangi filem dalam genre aksi komedi tersebut.

“Pihak kami telah mengikat kontrak dengan tiga anggota Sepah itu pada Ogos lalu. Sedangkan semua cerita sensasi dan kontroversi membabitkan Sepah itu timbul selepas mereka menandatangani kontrak dalam filem ini.

“Saya dan Sepah berasal dari Johor. Saya kenal mereka di mana saya yakin mereka ada chemistry (keserasian) antara satu sama lain. Saya yakin semua perkara itu tidak ada kena mengena dengan tahap profesionalisme mereka,” jelasnya.

Sepah The Movie yang mula menjalani penggambarannya di sekitar Johor Bahru, Johor sejak 17 Oktober lalu dijangka menampilkan jalan cerita dan genre tersendiri iaitu komedi aksi yang jarang diketengahkan dalam filem tempatan.

Menurut pengarahnya, MP Roslin, selain menampilkan aksi komedi, filem yang skripnya ditulis oleh ZH Emdee itu antaranya menampilkan aksi-aksi sukan motorcross yang dilakonkan sendiri oleh anggota Sepah.

“Kami sengaja menampilkan sukan motorcross bagi memberi suatu kelainan buat para penonton bagi menggalakkan aktiviti sihat terutamanya yang boleh menjadi ikutan generasi muda. Pelbagai teknik kamera digunakan dalam filem ini.

“Kemudahan kamera dan teknik penggambaran yang kami gunakan dalam filem ini juga boleh dianggap bertaraf dunia sama seperti dalam filem-filem dari Thailand agar ia mampu memberi kepuasan kepada para penonton,” ujarnya.

Sementara itu, Mamat yang merupakan satu-satunya anggota Sepah tidak menganggap perpecahan kumpulan itu akan menjejaskan komitmennya bagi menjayakan penggambaran filem pertama lakonan pelawak terbabit.

Malah, Mamat atau nama sebenarnya Mohd. Noor Murad, 26, berkata, biarpun Jep dan Shuib tidak lagi menganggotai Sepah tetapi dia yakin dapat menyesuaikan dirinya bersama dua rakannya itu sewaktu penggambaran filem tersebut.

“Bagi saya perpecahan Sepah tidak menjadi isu kerana kami masih berkawan. Tiada gunanya saya mahu bermusuh kerana kami sama-sama pernah bersujud berdoa untuk menang sewaktu dalam Raja Lawak dulu,” katanya.

Lontaran pendapat yang sama turut disuarakan oleh Shuib atau Shahmira Mohamad, 27, yang berkata, biarpun Sepah kini tidak dianggotainya lagi, tetapi dia akan bersikap profesional bagi menyudahkan penggambaran filem itu.

“Saya dan Jep sependapat dalam hal ini. Bagi kami, biarlah cerita peribadi tidak dicampuradukkan dalam penggambaran ini. Tujuan kami cuma satu iaitu mahu mencari makan. Ini adalah kerja tetap kami,” komennya.

Selain Mamat, Jep dan Shuib, Sepah The Movie turut dibintangi ramai lagi pelakon antaranya Jehan Miskin, Yus (Jambu) dan Asrul daripada Raja Lawak serta dua pelakon wanita baru iaitu Anzalna Nasir dan Ramona Qadri.

Filem yang tiada kena mengena dengan kisah hidup anggota-anggota Sepah itu mengisahkan tentang tiga jejaka yang bekerja di sebuah kilang berdepan dengan konflik apabila munculnya seorang gadis bernama Ayu Sofea.
Sumber-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.