Tiket babak akhir Piala Malaysia RM50

KUALA LUMPUR – Walaupun perlawanan akhir Piala Malaysia antara Terengganu dengan Negeri Sembilan belum bermula, edisi ke-45 kali ini mungkin sudah meraih perhatian ramai apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam mengumumkan harga tiket RM50 dijual bagi menonton perlawanan yang dijadualkan di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Pengumuman harga tiket yang disifatkan mengejutkan itu dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM yang juga Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin selepas mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2011.

Atas alasan hanya 65,000 sahaja tiket berbayar akan dijual dan mahu menyelaraskan perbezaan antara tempat duduk utama dan biasa, FAM berkata, harga tiket itu telah dipersetujui oleh kedua-dua persatuan bola sepak negeri yang bertanding di pentas akhir.

”Harga tiket akan dijual RM50 bagi semua kawasan tempat duduk sementara kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah berharga RM5.

”Harga ini telah diputuskan oleh jawatankuasa berkenaan (Jawatankuasa Tiket dan Pintu) kerana kewajaran tertentu di samping keuntungan hasil jualan tiket dalam perlawanan ini akan dibahagikan sama rata kepada kedua-dua pasukan yang bertanding, bukannya pergi kepada FAM.

”Semua tiket akan dijual di Terengganu dan Negeri Sembilan mulai esok (hari ini) dengan cetakan pertama sebanyak 15,000 akan diberikan kepada setiap negeri yang akan dijual di perkarangan stadium masing-masing dan jika tiket telah habis, tambahan 15,000 lagi akan diberikan. Ini bermakna kedua-dua negeri mendapat peruntukan tiket sama banyak iaitu 30,000.

”Baki 5,000 tiket lagi akan dijual di Stadium Shah Alam pada hari perlawanan, para penyokong juga boleh membeli tiket secara online di www.online.com,” kata Hamidin pada sidang media.

Apabila ditanya oleh pihak media apakah kewajaran menaikkan harga tiket sebanyak RM50, Penolong Setiausaha FAM, Fuad Ismail menjawab harga itu bukannya FAM sengaja naikkan kerana ia dipersetujui oleh kedua-dua negeri.
Sumber-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.