Australia Bina Pagar Anti-Kucing Terpanjang Dunia

SYDNEY: Sebuah agensi pemuliharaan alam semula jadi selesai menyiapkan pembinaan pagar anti-kucing terpanjang di dunia di tengah Australia bertujuan melindungi spesis hidupan liar dan tumbuhan asal daripada pemangsa spesis kucing.

Australia mempunyai kadar kepupusan haiwan tertinggi di dunia. Populasi haiwan liarnya semakin terjejas akibat kehilangan habitat serta pengenalan spesis kucing, serigala dan arnab asing yang memusnahkan spesis asal benua luas itu.

Bulan ini, agensi Pemuliharaan Hidupan Liar Australia (AWC) selesai membina dan memasang arus elektrik pada pagar sepanjang 44 kilometer untuk menghasilkan kawasan bebas pemangsa seluas 9,400 hektar, kira-kira 350 kilometer di barat laut Alice Springs.

“Australia tidak mempunyai strategi mengawal kucing secara berkesan. Satu-satunya cara menyelamatkan haiwan paling terancam di negara ini adalah dengan mewujudkan kawasan bebas kucing menggunakan pagar pemuliharaan,” kata ketua AWC, Attius Fleming.

Fleming berkata, sebahagian daripada projek itu ditaja derma awam dan kerajaan. Katanya, kucing dan haiwan peliharaan akan dikeluarkan dari kawasan itu dan haiwan asal diperkenalkan semula ke kawasan terbabit, tahun depan.

Beberapa spesis mamalia milik AWC akan diperkenalkan ke kawasan itu termasuk beberapa spesis marsupial (keluarga kangaroo) iaitu quoll, numbat dan bilby serta tikus batu tengah.

Difahamkan, jumlah kucing peliharaan adalah antara 10 hingga 20 juta di seluruh Australia.

Kucing pertama kali diperkenalkan ke Australia oleh pendatang British pada lewat 1700-an sebagai haiwan peliharaan, namun ada daripada menjadi kucing liar dan membiak di seluruh benua itu selama 100 tahun. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.