‘Biarlah saya bermanja puas-puas dulu’

PETALING JAYA: Pelakon, Siti Saleha, tidak tertekan apabila bercerita soal cahaya mata kerana beliau dan suami, Ahmad Lutfi Azhar, masih dalam suasana bulan madu sejak mendirikan rumah tangga pada Julai tahun lalu.

Menurut Saleha, 28, dirinya juga mahu bermanja sepuas-puasnya dengan suami sebelum menerima kehadiran si kecil yang pasti menambahkan lagi seri mahligai cinta mereka.

“Apabila saya melihat abang dan adik saya yang sudah mempunyai anak, kehidupan mereka bagai berubah sepenuhnya. Tumpuan dan perhatian kini perlu diberikan kepada bayi masing-masing. Bagaimanapun, kami bukanlah merancang kerana soal anak bergantung kepada rezeki.

SITI Saleha bersama suami, Ahmad Lutfi Azhar. – Foto Khairul Azhar Ahmad

“Cuma bagi saya, sekarang kami masih lagi dalam suasana bulan madu. Malah, kami dalam perancangan untuk bercuti ke Mauritius. Berilah saya peluang untuk bermanja puas-puas dengan suami dulu,” katanya kepada BH Online.

Bercerita mengenai kehadiran Ramadan pula, Saleha berkata, beliau sangat teruja apabila kali pertama menyambut bulan penuh keberkatan itu sebagai isteri.

Seperti wanita sudah berkahwin yang lain, walaupun sibuk, Saleha tetap akan ke dapur menyediakan hidangan untuk suami.

“Suami saya tidak begitu cerewet dalam soal makanan. Dia suka makan daging goreng kunyit, manakala saya pula gemarkan salmon panggang sebab ia senang untuk dimasak.

SITI Saleha mahu bermanja sepuas-puasnya dengan suami sebelum menerima kehadiran si kecil. – Foto Nurul Syazana Rose Razman

“Janganlah ingat saya tidak mahir di dapur hanya kerana saya seorang artis. Saya juga boleh memasak kerana sejak dulu saya seorang yang berdikari. Cuma, saya tidak menayangkannya di media sosial,” kata pelakon drama rantaian, 7 Hari Mencintaiku, ini sambil ketawa.

Pada Ramadan ini juga, Saleha yang juga kakak kepada Sam Bunkface bakal muncul bersama dua drama baharu di kaca televisyen. Drama Bulan Bintang Dan Sayang akan menemui penonton ntv7, manakala Bila Aidil Ada Fitri pula ditayangkan menerusi saluran Astro Oasis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.