Congakan Misbun

BANGKOK: Jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek menjangkakan Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Cheam June Wei dan Tan Jia Wei akan membarisi skuad kebangsaan pada edisi Piala Thomas berikutnya.

Selepas gagal memenuhi sasaran layak ke separuh akhir kejohanan berprestij itu di Bangkok, Misbun berkata: “Secara jujur saya hanya berpuas hati dengan pemain perseorangan negara.

“Seperti dijangka (Datuk) Lee Chong Wei membuktikan betapa penting dia dalam pasukan apabila tidak pernah gagal memberikan mata pertama kepada negara.

“Zii Jia juga menunjukkan kematangan. Kini dia mula memahami apa yang diperlukan olehnya. Berikannya dua tahun dan saya yakin dia akan menjadi seorang pemain lebih cemerlang,” katanya.

Misbun berkata, kurangnya pengkhususan tertentu adalah antara faktor utama yang menyebabkan skuad negara gagal memenuhi sasaran ke separuh akhir.

“Kita perlu mengetepikan soal kepentingan individu. Lihat bagaimana pasukan seperti Denmark yang bersatu sebagai satu pasukan.

“Budaya seperti ini perlu diterapkan sejak zaman kanak-kanak lagi.

“Pemain seperti Iskandar (Zulkarnain Zainuddin) bagi saya ketinggalan lima tahun ke belakang daripada potensi sebenarnya. Dia sepatutnya mampu mempamerkan aksi seperti ini lima tahun lalu.

“Tapi saya perlu memberikan pujian kepadanya kerana semangat juangnya tinggi. Seperti Chong Wei, saya lihat Iskandar mempunyai kaliber sebagai seorang ketua.

“Dia hanya kurang dari segi permainan dan skil. Sudah tentu saya akan melakukan penilaian semula sama ada dia masih lagi releven untuk pasukan atau tidak. Jika kami mahu menggugurkannya, terpulang kepada pihak pengurusan. Saya hanya membuat penilaian dari perspektif saya saja,” katanya.

Misbun yang mengambil alih tugas selaku jurulatih perseorangan pertengahan tahun lalu mengakui dengan tumpuan khusus, Malaysia seharusnya mampu membentuk pasukan mantap untuk beberapa tahun lagi.

“Daripada kejohanan ini, saya lihat Zii Jia dan Jun Hao membuktikan mereka mempunyai kemampuan melebihi jangkaan orang ramai,” katanya.

BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.