Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, beliau sehubungan itu meminta pihak yang terlibat taat terhadap keputusan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dalam isu berkenaan.

Kata beliau, sekiranya enggan berbuat demikian, pihak yang terlibat wajarlah memohon perkenan daripada baginda untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan bertanding semula untuk 15 kerusi.

“Buat pilihan raya negeri dan biar mereka terlibat tahu ‘langit itu tinggi atau rendah’. Pada pendapat saya, kedua-dua pihak yang bertelagah ini harus disingkirkan daripada politik Perlis.

“Ia tidak akan berkesudahan walaupun bertukar Menteri Besar jika masih dalam kalangan kumpulan yang sama. Bagi rakyat, kita doakan semoga Allah SWT mempermudahkan urusan Raja Perlis (Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail),” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook miliknya, hari ini.

Menurut Fathul Bari, bagi mana-mana pihak yang takut kerana terikat dengan baiah dan janji dengan ahli politik tertentu, diminta membayar kafarah sumpah.

“Ini satu iktibar kepada sesiapa yang memimpin iaitu jangan sombong, belajar mendengar pendapat orang lain, membina rangkaian yang baik ketika berkuasa dan bukannya berpuak-puak,” katanya.

Isu pelantikan Menteri Besar mendapat perhatian meluas media-media massa kerana sebaik sahaja Datuk Seri Azlan Man diperkenankan Tuanku Syed Sirajuddin untuk memegang jawatan nombor satu negeri itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong tersebut dipecat keahliannya.

Pemecatan itu diumumkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim yang mengadakan sidang akhbar di ibu negara bersama wakil-wakil rakyat daripada Barisan Nasional (BN).

Berikutan itu, istiadat pelantikan Menteri Besar pada masa sama berlangsung dalam keadaan kurang sempurna kerana tidak dihadiri oleh seorang pun wakil rakyat daripada BN, yang dipercayai memulaukan pelantikan Azlan. – UTUSAN ONLINE