Lari Dari Tahanan: Berlaku Masalah Komunikasi – Peguam Jamal

KUALA LUMPUR: Pihak peguam Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos yang menghilangkan diri dari Hospital Pakar Ampang Puteri semalam percaya berlaku masalah komunikasi antara pihaknya dan anak guam.

Peguamnya, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, anak guamnya mungkin beranggapan proses ikat jamin atas tuduhannya sudah sempurna sebelum keluar dari hospital berkenaan.

“Ini adalah pengalaman pertama beliau dalam menghadapi situasi atau prosedur pertuduhan luar kamar mahkamah.

“Saya juga percaya, ini adalah kes kekhilafan tanpa sebarang niat melakukan apa-apa jenayah termasuk niat untuk lari dari tahanan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Imran berkata, pihaknya juga risau anak guamnya dalam keadaan trauma atau tekanan kerana situasi dan keadaan ini adalah sesuatu yang baru untuk beliau.

“Saya menyeru dan mohon pertolongan rakan-rakan yang ada di luar sana supaya dapat membantu kami dan polis dalam mendapatkan beliau untuk menyempurnakan proses ikat jamin tanpa sebarang implikasi terhadap mana-mana pihak.

“Saya memohon kemaafan kepada semua pihak yang terbabit terutamanya polis, mahkamah dan hospital dalam kes ini,” katanya.

Katanya, pihaknya memohon supaya Jamal dapat menghubungi kumpulan peguam atau hadir terus ke IPD Ampang Jaya bagi menyempurnakan proses ikat jamin berkenaan.

“Saya percaya pihak polis akan memberikan kerjasama dan bantuan yang sewajarnya tanpa perlu ada sebarang tangkapan,” katanya.

Semalam, Jamal dilaporkan menjadi buruan polis selepas menghilangkan diri dari Hospital Pakar Ampang Puteri.

Beliau sebelum ini didakwa atas tuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan sejumlah botol arak, tahun lalu, ketika menerima rawatan di hospital sama sekitar jam 10.45 pagi.

Difahamkan kehilangan Jamal disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang datang ke hospital itu pada jam 5.30 petang.

Jamal dikatakan tiada di bilik wad, namun peguam dan penjaminnya masih berada di hospital berkenaan.

Peguam Jamal mendakwa beliau didapati hilang sejak jam 3 petang selepas kesnya didengar Majistret Raja Noor Dilla Raja Mahyaldin dan diberi jaminan sebanyak RM3,000.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.