Makin rajin ke dapur demi suami

Katanya, sejak mendirikan rumah tangga tiga bulan lalu, dia dan suami, Fizi Ali, sememangnya jarang makan di luar andai tiada sebarang keperluan berbuat begitu.

“Bukanlah bermakna kami anti atau tidak suka makan di restoran mahupun gerai. Sesekali, memang kami gemar mencari tempat makan yang sedap sambil menghirup udara luar.

“Tetapi, mungkin disebabkan ketika bujang sudah biasa jamah lauk kedai, jadi sekarang apabila sudah berkahwin, saya semakin rajin ke dapur dan mencuba resipi kesukaan suami. Fizi pula jenis tidak cerewet.

“Cuma, memang sejak dulu saya tahu dia lebih pandai memasak, terutama lauk kampung yang sedap. Walaupun suami handal, saya tak boleh culas, tambahan pula inilah kali pertama kami berpuasa bersama,” katanya.

Pelakon drama Air Mata Di Bumi Matador itu berkata, jika tidak terikat dengan sebarang penggambaran, dia akan memastikan dapat menyediakan juadah sendiri.

“Biasanya, suami pun ringan tulang membantu mana yang patut. Kami sama-sama bangun awal untuk menyediakan hidangan sahur dan pada sebelah petang pula masak juadah berbuka,” kata Shakilla.

Shakilla atau nama sebenarnya Nur Shakilla Mohamad Khoriri berkahwin dengan Fizi, 29, yang juga penyampai radio, pada 18 Februari lalu di ibu kota.

Menyentuh pengalaman julung kali menyambut Ramadan sebagai isteri, akui wanita ini, pada hari pertama puasa dirinya berasa agak sedih kerana tidak dapat bersama keluarga.

“Sudah tentu saya rindu suasana bersahur dan berbuka dengan keluarga. Meriah sebenarnya apabila semua dapat berkumpul. Jadi, sedih juga pada awal Ramadan lalu, tetapi suara emak di hujung talian mengubat perasaan itu,” katanya lagi.

BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.