Media perlu lebih kritis

SEBERANG JAYA: Pengamal media diminta untuk terus bersikap telus dan lebih kritis terhadap pentadbiran baharu kerajaan Persekutuan.

Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata tindakan pengamal media yang sentiasa memuji dan memberi liputan berat sebelah hanya akan mengakibatkan pemimpin alpa.

“Media berhak tegur kerajaan. Cara media mengampu ketika pemerintahan terdahulu lah yang menyebabkan pemimpin rosak.

“Pemimpin sekarang, jangan melenting kalau dikritik. Kena sedia terima dan jawab,” katanya ketika berucap di hadapan lebih 3,000 hadirin pada Majlis Pidato Perdana di SP Arena di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow; Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution.

Sementara itu, Anwar berkata, beliau akan mengusulkan cadangan kepada pentadbiran kerajaan Pusat supaya mengutamakan pembinaan rumah kepada rakyat berpendapatan rendah di Pulau Pinang.

Katanya, tiada alasan lagi kepada pentadbiran kerajaan negeri, terutamanya, untuk membangunkan lebih banyak perumahan mampu milik di negeri ini.

“Jika dulu, kita boleh kata tidak mampu kerana kewangan yang terhad kerana kita hanya kerajaan negeri.

“Tapi sekarang tiada alasan lagi. Tetapi, saya memetik kata Ketua Menteri, supaya beri masa lagi kerana kita perlu selesaikan banyak perkara lain yang berlaku sebelum ini,” katanya.

Anwar yang dibebaskan selepas mendapat pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei lalu, dijangka akan menjelajah ke seluruh negeri dalam tempoh terdekat sebagai tanda penghargaan kepada rakyat yang menyokong PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.