Real adalah juara bertahan yang sedang memburu kejuaraan hatrik Eropah dan yang keempat dalam tempoh lima tahun apabila kedua-dua pasukan turun awal pagi Ahad nanti.

Berdasarkan status itu, tiada pasukan yang mampu menyekat Real dan Cristiano Ronaldo daripada terus berkuasa dan ini telah dibuktikan dengan kegagalan Atletico Madrid dan Juventus dalam perlawanan akhir dua musim sebelum ini.

Persoalannya, adakah Liverpool yang memiliki jentera serangan yang berkualiti mampu merubah skrip tersebut untuk menjadi pasukan pertama menyekat kelab gergasi Sepanyol itu yang tidak pernah kalah setiap kali menjejakkan kaki ke perlawanan akhir Liga Juara-juara?

Jika sejarah lalu diambil kira, memang ini merupakan final impian buat semua peminat bola sepak kerana berpotensi menyajikan perlawanan sengit yang sukar dilupakan antara dua pasukan yang mempunyai rekod cemerlang di peringkat Eropah.

Real sudah 12 kali merangkul Piala Kelab Eropah ini untuk mengatasi pencapaian kelab-kelab lain tetapi reputasi Liverpool juga tidak kurang hebatnya sebagai juara lima kali.

Kali terakhir Liverpool muncul juara Eropah ialah pada 2005 setelah menewaskan AC Milan dalam final di Istanbul, Turki.

Namun di bawah pengendali yang lebih hebat seperti Klopp kali ini, laluan awal mereka daripada terpaksa beraksi di peringkat playoff hingga berjaya menyingkirkan Manchester City dan Roma membuktikan Liverpool kini dilihat cukup bersedia untuk menjinakkan Real.

Jumlah jaringan iaitu 46 gol sepanjang kempen Liga Juara-juara juga satu bukti lagi mengapa tidak mustahil mereka mampu mengejutkan Real yang menjadi pilihan ramai.

“Jika kami menang dan muncul juara, perjalanan kami ke Kiev dan kemaraan ke final akan menjadi lebih bermakna. Setakat ini kami hanya dipuji sebagai pasukan yang sederhana sahaja,” kata Klopp yang pernah menyertai dua final di peringkat Eropah iaitu ketika membimbing Borussia Dortmund menentang Bayern Munich dalam Liga Juara-juara 2013 dan membimbing Liverpool menentang Sevilla dalam Liga Europa pada 2016.

Pengalaman itu menyebabkan Klopp yakin rakan sejawatannya dalam Real, Zinedine Zidane sudah pasti sedar cabaran Liverpool tentunya tidak boleh dipandang mudah kali ini apatah lagi dengan kembalinya Emre Can untuk memperkuatkan The Reds.

Sementara itu, Zidane juga tetap tidak mahu tunduk kepada tekanan sebaliknya sudah melaungkan keyakinan bahawa pasukan bimbingannya tidak akan melepaskan peluang untuk muncul juara sekali lagi.

Dengan kata lain, ramai juga mahu melihat bagaimana pertahanan dan tengah Liverpool dapat mengendalikan Gareth Bale yang dijangka akan diturunkan bersama Casemiro, Toni Kroos dan Luka Modric ditambah dengan Ronaldo.

“Kami sudah pun mencipta sejarah dan mahu terus menciptanya. Pasti mengagumkan. Sukar itu tetap ada tetapi pengalaman mampu memberi kelebihan kepada kami,” kata pertahanan Real, Raphael Varane. – AFP