Nasib Malang Buat Penyokong Liverpool

Entah apa malangnya. Hasrat penyokong Livepool mahu menyaksikan sendiri perlawanan akhir kelab itu dalam Liga Juara-juara pada Ahad ini nampaknya berdepan halangan luar jangka.

Dianggarkan ada kira-kira 1,000 peminat kempunan menyaksikan sendiri perlawanan bertemu Real Madrid di Kiev itu apabila ada syarikat penerbangan membatalkan perjalanan di saat akhir.

Menurut pengendali syarikat Worldchoice Sports mereka terpaksa membatalkan penerbangan apabila gagal mendapat tempat mendarat di Lapangan Terbang Boryspil di Kiev.

Mereka sepatutnya membawa penyokong Liverpool ke ibu negara Ukraine berkenaan melalui tiga penerbangan khas dari England.

Peminat sudah membelanjakan sehingga £2,000 untuk terbang ke Kiev bagi menonton secara langsung perlawanan akhir Liga Juara-juara yang melibatkan Liverpool untuk kali pertama dalam tempoh 11 tahun.

Salah seorang peminat yang kecewa ialah Chris Bolland.

Menggambarkan masalah itu Bolland menganggap dia begitu “meluat” dengan apa yang terjadi.

Menjadi penyokong tegar The Kop sejak 50 tahun lalu, Bolland berkata disebabkan pembatalan penerbangan berkenaan dia terpaksa menonton di rumah saja.

Tengok TV dengan isteri

Bercakap kepada BBC, Bolland berkata tiada kata-kata dapat menggambarkan perasaannya ketika ini.

“Saya terpaksa menonton TV dengan isteri. Nasib baik dia pun penyokong Liverpool,” katanya.

Ironinya sehari sebelum perlawanan akhir berkenaan dia berada di Poland – sebuah negara yang bersempadan dengan Ukraine.

Nasib sama menimpa Asif Badat dari Leeds.

Kata pemuda berusia 32 tahun itu dia diberi jaminan mengenai tiket penerbangan, tetapi tiba-tiba ia dibatalkan.

“Sekarang saya sedang berkira-kira untuk pergi ke Romania dan dari sana memandu ke Kiev. Masalahnya saya terpaksa berkenderaan selama 10 jam,” katanya.

Sebenarnya pemilihan lokasi perlawanan akhir itu sudah dipertikaikan sejak awal lagi. Malah ia tidak disenangi Liverpool.

Jurucakap kelab penyokong Liverpool Tony Barrett berkata sukar diterima akal Persatuan Bola Sepak Eropah memilih stadium yang terletak di negara sukar dikunjungi.

Tidak cukup dengan itu, Barrett berkata, kos untuk ke Ukraine juga jauh lebih mahal berbanding negara lain.

“Bagi penyokong Liverpool, apa yang dialami ini adalah benar-benar mimpi ngeri.

“Kami tidak dapat menerima apa pun penjelasan bagi masalah yang dihadapi untuk melihat perlawanan yang sebegini penting,” katanya.

Ivan Mulla, 46, dari Liverpool pula berkata dia terpaksa berhabisan masa dan wang untuk tetap menjejakkan kaki di Stadium Olimpik Kiev itu.

“Saya akan terbang dari Leeds ke Rome, Itali. Kemudian dari situ sambung perjalanan ke Kiev pula.

“Untuk balik saya terpaksa terbang dari Kiev ke Ankara, kemudian terbang pula ke Antalya, lepas tu baru balik ke Leeds,” katanya.

Sementara itu Worldchoice Sports berkata pihaknya akan memulangkan wang pembeli tiket tidak lama lagi. Namun khabar terkini melaporkan mereka mungkin mendapat satu kebenaran mendarat dari Ukraine.

Itu pun hasil campur tangan Datuk Bandar Liverpool, Joe Anderson yang berurusan dengan teman sejawatnya di Kiev, Vitali Klitschko.

BBC melaporkan Anderson terpaksa membuat siri panggilan telefon kepada Klitschko – bekas juara tinju heavyweight dunia – sebelum mendapat kebenaran berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.