Pertahankan JAKIM Tanggungjawab Seluruh Umat Islam

KUALA LUMPUR: Sebarang usaha menghapuskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) perlu dirujuk kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam bagi Persekutuan.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, menegaskan peruntukan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan, Islam adalah agama Persekutuan dan penubuhan JAKIM tidak pernah menyekat hak orang bukan Islam mengamalkan agama mereka secara aman dan damai.

Selain itu, katanya, Perkara 3(1) menjelaskan kedudukan Raja-Raja sebagai ketua agama di negeri, manakala Perkara 3(2) menggariskan Yang di-Pertuan Agong adalah adalah ketua agama Islam bagi Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

“Perkara 3(5) menyatakan bahawa bagi Wilayah Persekutuan, Parlimen boleh membuat undang-undang berhubung hal ehwal Islam dan menubuhkan majlis bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong.

“Oleh itu, sebarang gerakan untuk menghapuskan JAKIM harus mendapat perkenan dan dirujuk kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, terlebih dulu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sejak kebelakangan ini, media melaporkan wujud desakan yang mendesak supaya JAKIM dihapuskan secepat mungkin, kononnya demi kesejahteraan negara.

Suara sumbang segelintir pihak itu turut menuntut supaya operasi yang membendung kegiatan khalwat dalam kalangan umat Islam dihentikan kerana dikatakan bercanggah dengan hak asasi manusia.

Musa mengambil pendirian bahawa sebarang usaha didalangi mana-mana pihak untuk menghapuskan JAKIM perlu ditentang oleh seluruh umat Islam negara ini.

Katanya, JAKIM yang ditubuhkan pada 1997 di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad adalah sebahagian dasar penerapan nilai Islam selepas Perdana Menteri Keempat itu menerajui kerajaan pada 1981.

“PGSM ingin menyebut kembali kenyataan Dr Mahathir pada 6 Februari lalu yang mempertahankan penubuhan JAKIM di bawah pemerintahannya dengan mengatakan ia bertujuan mendekatkan kerajaan kepada ajaran Islam.

“Dr Mahathir juga menjelaskan penubuhan JAKIM selaras matlamat untuk memastikan apa yang kita lakukan dalam pentadbiran tidak bercanggah dengan Islam.

“Selain itu, beliau turut menyuarakan bahawa Pakatan Harapan akan berbincang untuk mengekalkan JAKIM, sekiranya gabungan berkenaan berjaya merampas Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-14,” katanya.

Mengulas dakwaan agama adalah hak peribadi dan membelanjakan berbilion dana awam terhadap aspek penguatkuasaan dalam masyarakat sekular ialah tidak wajar, Musa menyifatkan, kenyataan itu tidak berasas.

Beliau berkata, tindakan Kerajaan Persekutuan atau negeri memperuntukkan sebarang perbelanjaan untuk Islam adalah sah berdasarkan Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan.

“Peruntukan itu menggariskan bahawa adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu negeri menubuhkan atau menyenggarakan atau membantu dalam menubuhkan atau menyenggarakan institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang perlu bagi maksud itu,” katanya.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.