Pilihan Raya Kerajaan Tempatan Dijangka 3 Tahun Lagi

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dijangka melaksanakan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata banyak laporan dan isu perlu dikaji untuk mencari mekanisme terbaik bagi memastikan pilihan raya berkenaan dapat dijalankan.

“Kita perlu menstabilkan ekonomi negara terlebih dahulu kerana saya tidak mahu menambahkan beban.

“Sekiranya kementerian dapat mengurangkan kos dan ada bajet mencukupi, kita akan buat dengan cepat.

“Kita boleh melaksanakan secara berperingkat bermula di Selangor dan Pulau Pinang jika tidak dapat buat di seluruh negeri kerana kekangan bajet,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau masalah bekalan air dihadapi penduduk Rumah Transit, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pinggiran Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Media baru-baru ini melaporkan cadangan Persatuan Bekas Ahli-Ahli Majlis (PBAM) Seberang Perai supaya Kerajaan PH melaksanakan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan bagi membolehkan rakyat memilih teraju berkelayakan.

Pilihan Raya Kerajaan Tempatan atau Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan pernah diadakan di Malaysia bagi memilih ahli jawatankuasa peringkat daerah sekitar 1964.

Proses pilihan raya itu dilihat penting berikutan dapat mewujudkan persaingan sesama Ahli Majlis ke arah lebih baik, sekali gus meningkatkan prestasi kerja.

Sementara itu, Zuraida berkata, beliau akan ke Sarawak dalam masa dua minggu lagi untuk lawatan kerja bersama agensi bawah kementeriannya.

“Alhamdulillah, nama saya tidak lagi disenarai hitam dan saya akan ke sana bagi mengenal pasti masalah dan isu dihadapi agensi terbabit,” katanya.

Terdahulu, Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Sarawak mengesahkan larangan beberapa Menteri Persekutuan yang disenarai hitam untuk memasuki negeri itu, sudah ditarik balik.

Selain Zuraida, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, turut dilarang memasuki Sarawak sebelum ini.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.