‘Sepakan berdarah’ Ronaldo

KIEV: Seorang wartawan yang menghadiri sesi latihan Real Madrid mendapat dua ‘hadiah’ berbeza – jaket latihan Cristiano Ronaldo dan juga luka di mukanya.

Real sedang menjalani latihan di Stadium Olimpik Kiev menjelang aksi final Liga Juara-Juara menentang Liverpool, awal pagi esok.

Pada sesi latihan terbabit, bintang Portugal itu melakukan rembatan deras namun tersasar jauh sehingga mengenai kepala seorang jurukamera.

Lorenzana Prieto yang bekerja untuk stesen televisyen Amerika Syarikat berbahasa Sepanyol, Univision Deportes Network menyaksikan sendiri kameranya terkena tendangan liar Ronaldo yang kemudiannya turut mengenai kepalanya.

Insiden itu menyebabkan Prieto mengalami luka di atas bahagian mata kanannya sekali gus menyaksikan darah mengalir dengan banyak sehingga memaksa dia mengelap lukanya dengan sapu tangan.

Bagaimanapun, kecederaan jurukamera itu nampak tidak begitu serius selepas dia mendapat rawatan dan lukanya ditampal dengan pelekat.

Dia turut menerima permohonan maaf daripada Ronaldo yang menghantar jaket latihannya menerusi kakitangan kejurulatihan sebagai tanda perdamaian. – AGENSI

BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.