TERKINI: Lelaki Cedera Ditembak 11 Das

BUKIT MERTAJAM: Seorang peniaga telefon bimbit nyaris maut dalam kejadian tembakan di Taman Sentosa, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 pagi itu, mangsa, Tan Yi Chin, 23, sempat menyelamatkan diri dengan merangkak keluar melalui pintu kiri kereta selepas ditembak seorang lelaki bertopeng ketika sedang memandu, di sini.

Yi Chin cedera di bahu kanan, lengan dan badan akibat terkena tiga daripada 11 das tembakan yang dilepaskan suspek.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan, berkata sebelum kejadian mangsa bersarapan bersama rakannya di sebuah kedai makan di Taman Sentosa.

“Mangsa kemudian memandu keretanya jenis Honda Accord dari Jalan Sentosa menghala ke Jalan Kulim.

“Apabila sampai di persimpangan lampu isyarat Taman Sentosa seorang lelaki menaiki kereta berwarna putih dan bertopeng melepaskan 11 das tembakan ke arahnya,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, sejurus itu, mangsa terus keluar melalui pintu sebelah kiri dan pada masa yang sama kereta mangsa melanggar sebuah kereta jenis Toyota Hilux.

Katanya, suspek berjaya melarikan diri selepas menyedari mangsa berjaya menyelamatkan diri.

“Mangsa kemudian dibantu oleh orang awam sebelum dibawa ke Hospital Bukit Mertajam dan dilaporkan stabil,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.