Berikut merupakan kenyataan penuh Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Pre­siden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengenai pemecatan ribuan pegawai dan staf kerajaan lantikan politik:

1. Saya terpanggil untuk menyentuh sedikit mengenai ribuan pegawai dan staf kerajaan ‘lantikan politik’, seperti yang disebut oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, baru-baru ini.

2. Beliau mengambil keputusan untuk memberhentikan perkhidmatan mereka, dengan alasan mereka bergaji besar dan bertindak sebagai kroni kepada menteri dan ketua jabatan tertentu.

3. Perlu dijelaskan bahawa sebahagian besar daripada pegawai dan kakitangan ini bergaji sederhana dan rendah dengan ada antaranya yang menerima gaji mengikut Gred 17.

4. Dakwaan bahawa mereka menjadi kroni menteri juga adalah tidak benar kerana mereka hanya dilantik dengan persetujuan dan rujukan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), yang menentukan tangga gaji sesuai de­ngan jawatan dan kelayakan disandang.

5. Kebanyakan mereka ini adalah pemudah cara kementerian dan jabatan tertentu serta tidak menerima faedah secara menyeluruh dalam perkhidmatan awam.

6. Sebahagian besar mereka tidak dilantik secara terus seperti yang didakwa oleh banyak pihak, sebaliknya perlu melalui proses yang sama dengan penjawat awam lain, termasuk temuduga dan saringan kesihatan.

7. Oleh itu tidak timbul sama sekali ang­gapan bahawa ka­kitangan ini di­ambil te­rus oleh ketua jaba­tan masing-masing.

8. Namun apa yang menimpa mereka sekarang mencerminkan ketidakprihatinan kerajaan terhadap perkara ini. Apa lagi, mereka ini ditamatkan serta-merta ketika sedang bersiap sedia menyambut kedatangan 1 Syawal. Pasti ia me­nimbulkan beban dan keresahan.

9. Alangkah baik jika sebahagian besar mereka diserapkan ke perkhidmatan awam, supaya kerajaan Pakatan Harapan dilihat benar-benar ingin membela nasib rakyat, dan bukan menghukum tindakan serta kerja mereka.

10. UMNO melihat perkemba­ngan ini sebagai sesuatu yang tidak sihat dan tidak seharusnya berlaku.

11. Biarpun mereka adalah kakitangan sandaran, mereka mempunyai keluarga dan mulut untuk disuap. Fikirkanlah soal kebajikan anak isteri mereka selepas ini.

12. Jangan jadikan mereka sebagai sasaran mainan dan agenda politik. Mereka adalah rakyat yang memerlukan pem­belaan dan mereka juga adalah pengundi kita.

13. UMNO juga bimbang bahawa cubaan kerajaan Pakatan Harapan untuk memberi gambaran tidak betul bahawa hutang kerajaan lebih tinggi dari yang dilaporkan dahulu akan digunakan sebagai alasan untuk memecat lebih banyak penjawat awam dalam masa terdekat.

14. Rakyat tidak akan lupa bahawa hasrat parti DAP dari dulu lagi ialah untuk mengurangkan beratus ribu penjawat awam. Tidak mustahil bahawa ribuan penjawat awam ini hanya merupakan titik permulaan.