7 billion manusia, di mana belia bangsa kita?

Dijangka pada penghujung bulan oktober 2011 ini, penduduk dunia akan berjumlah 7 ribu juta atau 7 billion orang. Ia tentunya satu jumlah yang sangat-sangat besar jika ingin dibandingkan dengan 27.5 juta rakyat Malaysia setakat bancian pada tahun 2010. Apatah lagi jika ingin dibandingkan dengan jumlah belia bangsa yang seramai kira-kira 11.9 juta orang sahaja.
Namun, jumlah yang kecil dan tidak seberapa itu seandainya digembeling dengan sebaik mungkin, akan tetap memberikan impak yang sangat besar kepada negara bangsa juga dunia secara umumnya. Kerana itu, semua pihak haruslah menggunakan setiap kelebihan dan kemampuan yang ada pada setiap belia di negara ini tidak kiralah samada pihak kerajaan mahupun pihak swasta.
Belia bangsa sering dilabelkan sebagai harapan negara pada masa akan datang untuk meneruskan kesinambungan sesebuah negara. Harapan itu akan tinggal harapan seandainya belia-belia bangsa yang ada tidak dibentuk dan dididik daripada peringkat awal lagi untuk menghargai dan mencintai bangsanya sendiri melebihi bangsa yang lain. Bak kata pepatah melayu “Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya”
Sedari awal persekolahan, belia-belia ini perlu diasuh dengan kecintaan terhadap keharmoniaan yang ada di dalam negara berbilang kaum ini. Belia seawal 15 tahun hinggalah yang berusia 40 tahun, seharusnya telah tahu menghargai, menjagai dan memastikan perpaduan kaum yang telah bermula sejak negara ini mencapai kemerdekaannya 54 tahun lalu agar terus berkekalan.
Mungkin benar, belia-belia bangsa yang ada pada masa kini tidak lagi merasai perit jerih para pejuang dahulukala memperjuang dan mempertahankan tanahair. Namun sejarah negara itu tidak wajar sama sekali dilupai apa lagi dipertikaikan keberadaannya. Belia bangsa yang berjaya adalah belia yang tahu sejarah asal usul diri dan negara bangsanya.
Dalam 7 billion penduduk dunia, belia Malaysia haruslah berusaha lebih gigih dan bersemangat waja agar dapat meletakkan diri di kalangan mereka yang terpandang di seluruh dunia. Belia Malaysia juga haruslah lebih bijak menilai sesuatu agar setiap apa yang diperbuat mendatangkan hasil yang baik dan terbilang mutu kualitinya.
Bertindak terburu-buru dan suka menuruti perasaan tanpa berfikir panjang adalah suatu perbuatan yang harus dijauhi oleh belia-belia di negara ini. Ini kerana perbuatan sebegini selalunya lebih mendatangkan kesan buruk pada negara juga diri belia bangsa itu sendiri. Terdapat pelbagai tempat dan saluran yang disediakan oleh pihak kerajaan juga NGO bagi mendengar dan membantu para belia dalam menyelesaikan permasalahan mereka. Maka ikutkan jalan yang telah disediakan itu sebaiknya.
Belia adalah cermin bangsa. Belia yang berjaya akan membawa martabat bangsa dan negaranya ke persada dunia. Berjayalah dalam apa jua bidang, kelak belia Malaysia yang hanya sejumlah kecil berbanding penduduk dunia akan melahirkan suatu masyarakat yang cemerlang reputasinya selagi mana perpaduan dan keharmonian penduduknya dikekalkan selamanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.