CUEPACS saran 1.3 juta ahli protes

KUCHING 25 Okt. — Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyarankan 1.3 juta penjawat awam di negara ini melakukan protes secara senyap terhadap kenaikan harga barang terutama ayam mulai bulan depan.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, protes boleh dilakukan dengan mengurangkan kekerapan ke pasar selain mencari alternatif yang lebih murah bagi membantah tindakan peniaga menaikkan harga barangan tanpa sebab munasabah.

“Penjawat awam belum mendapat manfaat gaji naik dan bonus, peniaga dah mula ambil kesempatan,” katanya selepas taklimat isu semasa CUEPACS dengan ketua-ketua jabatan dan penjawat awam negeri ini di Bangunan Sultan Iskandar di sini hari ini.

Kata beliau, masanya telah tiba bagi semua penjawat awam bersatu dan menggunakan hak mereka sebagai pengguna.

Fenomena kenaikan harga barangan terutama ayam berlaku di seluruh negara termasuk di negeri ini dan kesannya semakin dirasai pengguna.

Pengarah Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Sarawak, Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman sebelum ini dilapor berkata, harga ayam di Sarawak kini antara RM9.50 dan RM11.50 sekilogram bergantung kepada lokasi, susulan kekurangan bekalan sejak bulan lepas.

Bagaimanapun, beliau menjangka harga ayam kembali ke paras biasa iaitu antara RM7.50 dan RM8 sekilogram pada pertengahan bulan depan apabila bekalan kembali normal. — BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.