Gaji profesor di Indonesia lebih rendah dari guru

JAKARTA 25 Okt. – Percaya atau tidak, gaji serta elaun yang diterima oleh seorang profesor penyelidikan di Indonesia setiap bulan jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan gaji yang diterima oleh seorang guru sekolah rendah di Jakarta.

Gaji pokok seorang profesor penyelidikan kategori IV (E) di Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia (LIPI) misalnya hanyalah sebanyak Rupiah 3.6 juta (RM1,288) dan elaun-elaun sampingan sebanyak Rupiah 1.6 juta (RM565) sebulan.

“Jumlah gaji yang saya terima sebulan ialah sebanyak Rupiah 5.2 juta (RM1,837) sebulan,” kata Profesor Dr. Ir Jan Sophaeluwakan, seorang pakar geologi mendedahkan gaji yang diterimanya biarpun sudah 30 tahun berkhidmat di LIPI, lapor akhbar Kompas hari ini.

Bagaimanapun, pendapatan yang diterima seorang profesor penyelidikan yang menduduki jabatan struktur adalah sedikit tinggi kerana mereka menerima elaun jabatan sebanyak Rupiah 3.2 juta (RM1,132) setiap bulan.

“Gaji pokoknya masih sama iaitu Rupiah 3.6 juta setiap bulan dan tidak akan naik lagi kerana tangga gaji tersebut sudah sampai ke kedudukan pangkat tertinggi IV (E),” ujar Prof. Dr. Ir Bambang Subiyanto, pakar biomateria yang juga Ketua Pusat Inovasi LIPI.

Biarpun menerima elaun sampingan, namun gaji profesor penyelidikan yang juga pemegang ijazah sarjana dan doktor falsafah dari luar negara masih belum boleh menandingi pendapatan guru di sekolah rendah.

Gaji seorang guru sekolah rendah di daerah Serang, Wilayah Banten misalnya, boleh membawa pulang gaji sebesar Rupiah 6.5 juta (RM2,300).

Pendapatan sebanyak itu merupakan jumlah gaji pokok sebanyak Rupiah 2.3 juta (RM813) serta elaun sampingan sebanyak Rupiah 3.87 juta (RM1,370).

“Tidak ketinggalan pemerintah daerah Serang juga memberikan elaun sebanyak Rupiah 440,000 setiap bulan kepada kami,” kata Turman, guru sekolah rendah di Serang yang sudah 29 tahun bergelar pendidik.

Pendapatan seorang guru sekolah rendah di Jakarta dilaporkan jauh lebih tinggi kerana selain menerima gaji pokok Rupiah 2.3 juta serta elaun-elaun lain juga sebanyak itu, guru-guru juga berpeluang mendapat elaun kerja daerah sebanyak Rupiah 4 juta RM1,414) daripada pemerintah Daerah Khusus Ibukota Jakarta.

“Lumayan setiap bulan boleh memperoleh pendapatan sebanyak Rupiah 8.6 juta (RM3,040) setiap bulan,” komen guru besar Sekolah Rendah Negeri Duri Pulo 1, Jakarta yang berpengalaman selama 26 tahun sebagai guru sekolah.

Menurut Bambang, kurangnya perhatian pemerintah terhadap kerjaya seorang profesor bukan hanya pada pendapatan yang rendah ditawarkan.

Sebaliknya, kemudahan untuk melakukan penyelidikan juga amat terbatas sehingga memaksa golongan cendekiawan tempatan mengadakan kerja-kerja kajian akademik secara kerjasama dengan institusi pengajian tinggi sama ada di dalam atau luar negara.

Jan pula berpendapat, ekoran tidak mendapat perhatian daripada pemerintah, ahli-ahli akademik Indonesia ada masanya melakukan kajian dan penyelidikan yang tidak relevan dengan bidang dan kepakaran mereka.

Berdasarkan laporan berkenaan, gaji yang diterima profesor penyelidikan di negara jiran Indonesia mencecah angka Rupiah 90 juta (RM31,000) sebulan sementara di Jepun dianggarkan antara Rupiah 600 juta hingga Rupiah 900 juta (RM212,000) hingga (RM318,000). – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.