KL Metropolis jana ekonomi

KUALA LUMPUR 25 Okt. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pembangunan ‘KL Metropolis’ yang dijangka siap pada 2025 dapat memenuhi hasrat kerajaan menjayakan projek Greater Kuala Lumpur-Klang Valley bagi menjadikan ibu kota sebagai sebuah kawasan mampan diduduki bertaraf antarabangsa.

Perdana Menteri berkata, projek RM15 bilion yang turut menempatkan pusat perniagaan dan pameran antarabangsa itu mampu menarik pelabur luar serta tempatan pelbagai sektor seterusnya membawa manfaat kepada negara.

Justeru, beliau mahukan pemaju, Naza TTDI memastikan KL Metropolis berperanan penting dalam memenuhi aspirasi kerajaan menjayakan Greater KL-KV sebagai pusat penjanaan ekonomi, seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan yang menarik minat ramai pekerja mahir.

“Dengan lokasi yang cukup strategik, ia pasti akan menempatkan KL Metropolis sebagai lanjutan kepada pusat bandar Kuala Lumpur.

“Menggabungkan unsur-unsur pembangunan pintar, bangunan hijau dan reka bentuk mampan, saya berharap pembangunan KL Metropolis akan mengorak langkah bagi projek pembangunan lain di Malaysia teladani,” katanya dalam ucapan pelancaran KL Metropolis di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

KL Metropolis akan dibangunkan dalam tiga fasa di dengan keluasan 30.5 hektar, meliputi 5.3 hektar untuk pembinaan kompleks Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Martrade) yang baru.

Pelan induk pusat itu direka oleh sekumpulan pereka Naza TTDI yang bekerjasama dengan firma arkitek antarabangsa terkemuka, ‘Skidmore, Owings and Merrill’ yang terkenal dengan pembangunan Burj Al-Khalifa di Dubai dan Canary Wharf di london.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.