Malaysia kurang pusat pameran ketinggalan

KUALA LUMPUR 25 Okt. – Kekurangan pusat pameran dan konvensyen di Malaysia menyebabkan negara ini ketinggalan dalam industri mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) yang semakin mendapat tempat di peringkat dunia.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Malaysia kini hanya memiliki empat pusat pameran dengan keluasan keseluruhan 56,000 kaki persegi (5,202 meter persegi).

Empat ruang pameran itu ialah Pusat Dagangan Dunia Putra, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Matrade dan Malaysia Agro Expo Park yang kesemuanya mempunyai keluasan 56,000 kaki persegi.

Menurut beliau, keluasan itu jauh ketinggalan berbanding kemudahan di China dan negara-negara jiran.

Misalnya, pusat pameran Canton, China, ruang pamerannya adalah seluas 1.16 juta meter persegi dan Guangzhou pula 260,000 meter persegi.

”Kalau dibandingkan kita dengan negara-negara lain, walaupun Singapura dan Bangkok, ruang (pameran) yang kita ada memang terlalu kecil.

”Kekurangan ini menyebabkan kita tidak mampu mengembangkan potensi dalam industri tersebut,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran KL Metropolis di perkarangan Matrade di sini hari ini.

Sehubungan itu, katanya, dengan adanya pusat pameran Matrade yang baharu di KL Metropolis yang menawarkan keluasan satu juta kaki persegi membolehkan Malaysia mengambil bahagian lebih berkesan dalam MICE.

”Malaysia sebenarnya sudah banyak terlepas peluang dalam industri ini, peluang memang banyak tetapi disebabkan kekangan ruang, kita ketinggalan dalam banyak acara-acara besar dunia.

”MICE kini menjadi sektor penting dan ia akan mampu menjadi peneraju dalam kebanyakan perniagaan lain khususnya di Kuala Lumpur,” tambah beliau.

Ditanya apakah ‘nasib’ bangunan Matrade sekarang sekiranya KL Metropolis siap nanti, Mustapa berkata, fungsi bangunan itu akan dikekalkan.
Sumber-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.