8 RAMD Rampas Pelbagai Bahan Bernilai RM175,280

PANGLIMA 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Ramli Jaafar (empat kanan) bergambar bersama pasukan Batalion Kelapan Rejimen Askar Melayu Diraja (8 RAMD) pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Panglima 2 Divisyen di Kem To’o. – Foto Nik Abdullah Nik Omar

RANTAU PANJANG: Pasukan Batalion Kelapan Rejimen Askar Melayu Diraja (8 RAMD) merampas pelbagai bahan bernilai RM175,280 melalui Ops Merpati dan Ops Wawasan.

Jumlah itu membabitkan 11 ‘Rampasan Barang Bersama Tuan’ (RBBT) dan 14 ‘Rampasan Barang Tanpa Tuan’ (RBTT) bermula 2 April sehingga 25 Mei lalu selain menangkap 13 pendatang asing tanpa izin (PATI).

Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Ramli Jaafar berkata, antara barangan yang dirampas hasil operasi sepanjang kawasan sempadan seperti beras, daun ketum dan minyak diesel.

Beliau berkata, hasil rampasan dijangka terus meningkat menjelang musim perayaan kerana permintaan tinggi terutamanya terhadap mercun dan beras.

“Tahniah diucapkan kepada pasukan 8 RAMD diketuai Leftenan Kolonel Zulkernain Ayob bersama 14 pegawai dan 275 anggota atas kecemerlangan operasi ini.

“Pasukan ini akan menyelesaikan tugasan mereka sehingga minggu hadapan, selepas menjalankan tanggungjawab ketika musim Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan mengawal aktiviti haram di kawasan sempadan.

“Saya berpuas hati dengan tugasan pasukan yang berjaya merampas serta membasmi aktiviti haram di sepanjang kawasan sempadan,” katanya ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Panglima 2 Divisyen di Kem To’o, di sini, semalam.

Sementara itu Ramli berkata, majlis berbuka puasa bersama pasukan 8 RAMD itu sebagai tanda penghargaan dan terima kasih atas kerja kuat dan usaha mereka dalam menjalankan tugas untuk negara.

“Biarpun anggota terpaksa bertugas menahan lapar dahaga ketika Ramadan, mereka tetap memberi komitmen yang terbaik.

“Syabas kepada semua yang terbabit dan berharap setiap anggota terus komited dan berusaha dalam memastikan keselamatan dan keamanan negara terus terjaga,” katanya.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.