Faizal Dedah Punca Gagal Tapis Soalan ‘Panas’

PENYAMPAI radio popular, Faizal Ismail mendedahkan bahawa faktor teknikal adalah punca utama pemanggil bernama Azrul terlepas komen lucah dan biadab kepada tokoh PKR, Nurul Izzah Anwar.

Faizal berkata, kegagalan dirinya mendengar dengan jelas terhadap apa yang disampaikan oleh pemanggil itu menyebabkan gagal memberi reaksi bagi menamatkan panggilan berkenaan.

“Faktor teknikal menyebabkan saya tidak dengar butiran pemanggil itu. Saya cuba matikan panggilan selepas dia buat teguran namun dalam keadaan panik itu, dia sempat beri kata-kata tidak sepatutnya.

“Apabila saya mendengar semula playback, baru saya perasan kata-kata tersebut sangat tidak wajar,” kata Faizal dipetik mStar Online, hari ini.

PENYAMPAI RADIO POPULAR, FAIZAL ISMAIL

Dalam pada itu, Faizal turut memohon maaf kepada pemimpin muda Pakatan Harapan itu sejurus menyedari perkara tersebut.

“Saya lihat riak wajah Nurul Izzah juga berubah dan saya minta maaf dengan dia kerana tidak dapat mengawal situasi yang berlaku itu.

“Tujuan kami sebenar hanya untuk beri peluang kepada orang ramai yang mengundi bercakap dan bertanyakan soalan terus kepada beliau. Tindakan Azrul itu memang dengan tujuan yang tidak baik dan ada agenda tertentu,” katanya.

Ujar Faizal lagi, dia menjadikan perkara tersebut sebagai pengajaran dan berharap kejadian seperti itu tidak berulang pada masa akan datang.

Selain itu, anak jati kelahiran Butterworth, Pulau Pinang itu juga berjanji untuk memastikan langkah berjaga-jaga diambil pada temuramah akan datang terutama melibatkan ahli politik.

“Ini satu pengajaran kepada pihak kami di FBI live dan saya juga mengharapkan agar isu ini tidak berlarutan kerana hanya seorang pemanggil yang mungkin ada agenda tertentu.

“Majoriti yang menonton live pada masa itu masih lagi mereka yang menghargai kehadiran YB sebagai tetamu yang beraksi sebagai manusia biasa di konti rumah kami,” tambahnya lagi.

Baru-baru ini, Azrul telah menegur mengenai cara pemakaian Nurul Izzah ketika menjadi tetamu FBI Live yang dikendalikan Faizal dan pengacara, Fara Fauzana pada 22 Mei lalu.

Bagaimanapun, pemanggil berkenaan menerima kecaman hebat dalam kalangan netizen susulan teguran tersebut dianggap biadab kerana mengeluarkan perkataan kurang manis dan mengaibkan. – MYNEWSHUB.CC/AM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.