Beliau berkata, segala kesilapan yang dilakukan pemimpin terdahulu harus diselesaikan mengikut undang-undang tanpa dipengaruhi faktor lain

Dalam soal ini, katanya, beliau menyokong sekiranya proses undang-undang digunakan membabitkan isu rasuah dan salah guna kuasa.

“Jika terbukti ada orang ambil beratus-ratus juta, kita tidak boleh lepas begitu sahaja, (kerajaan) kena kembalikan wang berkenaan tetapi harus ikut jalur hukum,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa di Yayasan An-Nahdhoh, Kubang Semang di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi PKR negeri, Datuk Dr. Mansor Othman dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Mengulas mengenai perbuatan membalas dendam, Anwar berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan wakil rakyat PH.

“Kita tidak boleh bergerak atas dasar dendam kerana ia merupakan penyakit hati,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, wakil rakyat kerajaan ketika ini perlu menjadikan apa yang berlaku kepada wakil rakyat Barisan Nasional (BN) sebagai pengajaran.

“Jangan ulangi perkara tidak elok yang mereka lakukan.

“Kita sudah menang, jadi tidak perlu menyerang lawan, sebaliknya tumpu kepada usaha memikul amanah dengan baik dan amalkan kesederhanaan,” katanya.

Pada masa sama, beliau tidak mahu wakil rakyat PH terlibat dengan rasuah dan boros berbelanja kerana perkara itu merupakan kritikan yang sering diberikan terhadap lawan mereka dahulu.