Najib Hairan Ekonomi Negara Tiba-tiba Berubah

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hari ini menyindir kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menyatakan ekonomi negara berada dalam keadaan kukuh ketika ini.

Bekas Perdana menteri itu berkata beliau hairan dengan kenyataan dikeluarkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng itu, kerana sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU), PH kerap mendakwa ekonomi negara berada dalam keadaan krisis serta negara berkemungkinan muflis.

“Saya hairan betapa cepatnya ekonomi negara bertukar daripada kononnya dalam keadaan krisis dan gagal sebelum PRU-14, kepada keadaan ekonomi yang kuat dan kukuh.

“Cuma dua minggu lebih sahaja (sudah berubah)?,” katanya menerusi Facebook rasminya, hari ini.

Najib turut menyertakan pautan portal berita yang melaporkan kenyataan Guan Eng, semalam yang menegaskan ekonomi Malaysia kekal kukuh walaupun perlu penambahbaikan bagi keadaan fiskal semasa.

Sebelum ini, Guan Eng mengumumkan jumlah hutang dan liabiliti Kerajaan Persekutuan adalah berjumlah RM1.087 trilion atau 80.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setakat 31 Disember 2017.

Katanya, jumlah itu merangkumi hutang rasmi Kerajaan Persekutuan RM686.8 bilion atau 50.8 peratus daripada KDNK, jaminan Kerajaan RM199.1 bilion atau 14.6 daripada peratus KDNK, serta pembayaran pajakan untuk projek Kerjasama Awam Swasta (PPP) seperti pembinaan sekolah, asrama, jalan raya, balai polis dan hospital berjumlah RM201.4 bilion atau 14.9 peratus KDNK.

Susulan pengumuman itu, Bursa Malaysia mengalami penurunan mendadak tiga hari berturut-turut berikutan reaksi keterlaluan​​​​​​​ terhadap paras hutang negara.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.