Polis Tahan Suspek Kes Tembak

BUKIT MERTAJAM: Polis menahan seorang lelaki berumur 40-an bagi membantu siasatan kejadian tembakan di Taman Sentosa, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid, berkata suspek ditahan di Tanjung Tokong, Georgetown, kira-kira jam 10.30 malam tadi.

“Mahkamah Majistret Bukit Mertajam membenarkan suspek direman selama enam hari hingga 1 Jun ini.

“Selain itu, kita sudah merakamkan keterangan daripada lima individu, termasuk saksi di tempat kejadian,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 pagi semalam, seorang peniaga telefon bimbit nyaris maut ditembak seorang lelaki bertopeng ketika sedang memandu.

Mangsa, Tan Yi Chin, 23, sempat menyelamatkan diri dengan merangkak keluar melalui pintu kiri kereta, namun cedera di bahu kanan, lengan dan badan akibat terkena tiga daripada 11 das tembakan dilepaskan suspek.

Mengulas lanjut, Nik Ros Azhan berkata, mangsa kini dirawat di Hospital Seberang Jaya dan berada dalam keadaan stabil.

Katanya, doktor belum mengeluarkan semua peluru daripada tubuh mangsa, dan motif kejadian masih dalam siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.