‘Tak setuju pemimpin politik terajui persatuan sukan’

KUALA LUMPUR 27 Sept. – Pemimpin-pemimpin politik yang aktif tidak seharusnya campur tangan mahupun terlibat menguruskan mana-mana persatuan sukan di negara ini, kata Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM), Karim Ibrahim.

“Hanya golongan profesional dan mereka yang benar-benar berminat serta komited membantu menaikkan sukan harus mengendalikan sesebuah persatuan sukan,” katanya ketika ditemuramah dalam program Kerusi Panas terbitan Bernama Radio24.

Karim berkata, penyertaan pemimpin-pemimpin politik dalam pengurusan sesebuah persatuan sukan dan ditambah pula dengan kerja hakikinya dalam pentas politik, boleh mengurangkan tumpuan dan komitmen mereka untuk memajukan persatuan sukan.

“Apabila mereka terbabit dalam kedua-dua perkara, iaitu menguruskan persatuan sukan dan politik, wujudnya kepentingan diri. “Justeru bagi pemimpin-pemimpin politik, adalah lebih baik jika mereka memberikan tumpuan sepenuhnya kepada agenda rakyat, kerana ia jauh lebih penting,” katanya.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.