Wakaf Korporat tranformasi ekonomi umat Islam Malaysia

IDEA penubuhan Wakaf Korporat yang dicetuskan oleh Yayasan Iqra sewajarnya dipuji dan diberi sokongan padu. Masakan tidak, ketika masih banyak pihak yang terus meluahkan kebimbangan mengenai kedudukan dan masa depan Bumiputera dalam ekonomi, Yayasan Iqra muncul dengan Wakaf Korporat.

Meskipun, usaha penubuhannya masih lagi ‘hijau’ namun kesungguhan dan kegigihan kumpulan ‘think tank’ Melayu yang diketuai oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Iqra, Datuk Seri Idris Jusoh dan Tan Sri Muhammad Ali Hashim dalam merangka pelaksanaan Wakaf Korporat memang begitu luar biasa.

Ia kerana, dengan keanggotaan kecil itu, kumpulan cerdik pandai Melayu itu mampu menggabungkan pemikiran bagi menstruktur platform Wakaf Korporat sebagai transformasi agenda umat Islam Malaysia dalam bidang ekonomi pada masa depan.

Pasti ramai yang tidak dapat mengagak apakah yang bakal dilaksanakan oleh Yaysan Iqra melalui Wakaf Korporat? Jawapannya mudah – Wakaf Korporat akan dijadikan sebagai instrumen modal teroka dan pelaburan baharu bagi memperkasakan ekonomi Islam.

Ia selaras dengan tujuan penubuhannya – untuk meningkatkan maruah umat Islam di negara ini melalui kekayaan dan pendidikan dengan tujuan memberikan kesejahteraan kepada mereka.

Biarpun masih dalam cadangan tetapi Wakaf Korporat akan berfungsi sebagai entiti yang mendapatkan dana melalui aktiviti dan instrumen Islam lain pada dasarnya untuk diwakafkan kepada umat Islam.

Dengan dana yang diraih itu, ia akan digunakan untuk pelaburan strategik sebanyak 70 peratus berdasarkan patuh Syariah.

Manakala peruntukan 30 peratus lagi akan digunakan bagi program-program transformasi Muslim, modal insan dan pembangunan sosial.

Idris berkata, beliau yakin dan percaya sekiranya Wakaf Korporat tersebut berjaya direalisasikan, kepentingan, masa depan, kestabilan, jaminan dan kelangsungan Bumiputera dan umat Islam dalam ekonomi akan lebih terjamin.

Malah, katanya, dengan Wakaf Korporat, banyak kemudahan dan kebajikan umat Islam akan dilaksanakan seperti di Turki, tanpa menunggu bantuan kerajaan semata-mata.

Sambil memberi contoh, beliau berkata, Turki adalah contoh terbaik dalam pengurusan wakaf kerana daripada 44 universitinya, 39 adalah universiti wakaf.

Malah, Profesor Dr. Murad Cizakca, Profesor Perbandingan Sejarah Ekonomi di Universiti Kewangan Islam Global (Inceif) berkata, beliau pernah ditawarkan pendapatan tiga kali lebih tinggi di salah sebuah universiti di Turki daripada yang diperoleh dari universiti lain.

Ditanya mengapa baharu sekarang tercetusnya idea untuk menubuhkan Wakaf Korporat itu, Idris berkata: ”Ia untuk survival umat Islam dan Bumiputera”.

Katanya, orang Melayu dan umat Islam di Malaysia cukup kaya dan suka mewakafkan harta benda mereka.

Setakat ini, di Malaysia terdapat sejumlah 89,000 ekar (35,600 hektar) tanah-tanah wakaf tetapi sayangnya aset-aset ini tidak diguna atau diuruskan secara baik.

”Macam tanah wakaf, kita hanya nampak ia sesuai untuk kegunaan membina surau, masjid atau tanah perkuburan sahaja.

”Sebab itu, banyak tanah-tanah wakaf terbiar…yang menjadi belukar pun ada. Sedangkan aset-aset ini sekiranya diuruskan dengan baik mampu dimanfaatkan oleh kumpulan umat Islam yang lebih besar,” ujarnya.

Idris berkata, selepas setahun sudah asas penubuhan Wakaf Korporat ini dibincangkan, kini sudah tiba masanya ia mendapatkan persetujuan daripada Majlis Agama Islam Negeri-Negeri.

Jelasnya, persetujuan itu penting kerana Yayasan Iqra mahu menggunakan perkataan ‘wakaf’ dan ia berada di bawah bidang Majlis Agama Islam Negeri-Negeri dan memerlukan kelulusan sultan-sultan.

Menurut Idris, Yayasan Iqra kini hanya menunggu kelulusan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri sahaja kerana semuanya sudah bersedia.

Malah, katanya, sudah ada penderma-penderma yang bersedia untuk ‘menabung’ dalam Wakaf Korporat.

Mengambil kata Prof. Dr. Murat, perkara baik tidak seharusnya dilengah-lengahkan kerana hanya membuang masa sahaja – yang ruginya adalah umat Islam sendiri.
Sumber-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.