Jangan salahkan PDRM – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy, diharap tidak menggunakan jawatan dalam kerajaan untuk mencetuskan provokasi agama di negara ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, turut mengingatkan Waytha Moorthy dan pihak lain supaya tidak cuba menjadi wira berhubung kes rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman.

Ahmad Zahid yang juga bekas Menteri Dalam Negeri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak wajar dipersalahkan dalam insiden berkenaan dan berharap semua pihak mematuhi peraturan dan undang-undang ke arah mencari penyelesaian terbaik.

“Penganut semua agama harus menghormati antara satu sama lain. Jangan ada mana-mana pihak yang berasa seolah-olah mahu menjadi wira kepada sesuatu agama.

“Tambahan pula jika portfolio dipegang adalah untuk tujuan mewujudkan perpaduan, maka jangan kedudukan ini dijadikan tempat mencetuskan suasana kurang senang kepada penganut mana-mana agama.

“Keharmonian beragama perlu dikekalkan. Ikut peraturan dan penguatkuasaan mesti dilaksanakan secara berhemah supaya tidak timbul masalah keharmonian antara kaum yang wujud sejak merdeka,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, Waytha Moorthy yang membacakan kenyataan bersama beberapa menteri, mendakwa polis lewat tiba di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman, pantas mempertahankan polis menjalankan tugas dengan baik, khususnya apabila tiada pihak yang kehilangan nyawa dalam insiden yang tercetus kira-kira jam 2 pagi semalam.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, berkata kerajaan hari ini perlu menjadikan kejatuhan Barisan Nasional (BN) di Selangor pada 2008, yang antaranya berpunca daripada isu meruntuhkan kuil sebagai pengajaran.

Katanya, insiden terbaru itu tercetus atas tiga faktor iaitu soal pematuhan kepada peraturan ditentukan pihak berkuasa negeri dan kerajaan tempatan.

“Kedua adalah soal pemilikan tanah rumah ibadat dan ketiga mengenai bagaimana sesuatu agama diamalkan dalam keadaan yang mematuhi peraturan,” katanya.

Setakat ini, polis dilaporkan menahan 21 lelaki tempatan bagi membantu siasatan kejadian rusuhan di tapak Kuil Sri Mariamman, USJ 25 Putra Heights, Subang Jaya, yang berpunca daripada isu perpindahan tapak kuil berkenaan.

Selain itu, 23 kenderaan musnah dibakar, manakala cermin sebuah pusat beli-belah turut dipecah dan dirosakkan.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.