‘Kerajaan Perak boleh bertukar bila-bila masa’

KUALA LUMPUR: Krisis melanda kerajaan Perak ketika ini didakwa berada pada kemuncaknya dan boleh bertukar pada bila-bila masa.

Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, mendakwa krisis dalaman kerajaan Perak pimpinan Pakatan Harapan (PH) itu turut menyebabkan mesyuarat EXCO negeri sudah lama tidak diadakan.

Bagaimanapun, Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak itu menafikan ia berpunca daripada komplot didalangi UMNO, sebaliknya mendakwa ketidakstabilan kerajaan Perak ketika ini disebabkan oleh DAP.

“Sekarang ini, kerajaan negeri Perak tak stabil dan bila-bila masa boleh bertukar disebabkan DAP tidak puas hati dengan Menteri Besar Perak ketika ini (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu).

“Ada yang mendakwa DAP mungkin ada calon tersendiri untuk menggantikan Menteri Besar, maka ia menyebabkan timbul spekulasi siapa bakal jadi Menteri Besar dan sebagainya,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Sabtu lalu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad, mendakwa beberapa Exco negeri mahu menjatuhkan Menteri Besar.

Beliau dilaporkan berkata, sekurang-kurangnya lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO menerima pelbagai tawaran untuk membantu usaha menyokong usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Faizal di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Diminta mengulas kenyataan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, yang menyatakan sokongan kepada Ahmad Faizal, Tajuddin menyifatkan kenyataan itu bagi menyembunyikan agenda sebenar mereka.

Tajuddin mendakwa Ahmad Faizal turut kehilangan sokongan kebanyakan anggota EXCO negeri hingga tidak dapat memanggil mereka melaksanakan mesyuarat Exco.

“Kalau dia (Kor Ming) kata sokong Menteri Besar yang ada, kenapa kita dapat tahu Menteri Besar tak boleh panggil pun mesyuarat EXCO.

“Sudah berapa lama tak boleh mesyuarat sebab EXCO kebanyakannya DAP dan mereka tak sokong Menteri Besar. Ini akan menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri Perak,” katanya.

Tajuddin mendakwa Ahmad Faizal kehilangan sokongan DAP kerana keengganan memberi status hak milik tanah 999 tahun kepada pihak tertentu.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.