Armin Tak Boleh Jumpa Anak, Ziana Zain

SUAMI kepada penyanyi dan pelakon terkenal, Armin Zaharin Ahmad Zambri, hadir ke mahkamah bagi sebutan semula kes mencederakan anak lelakinya menggunakan sebatang rotan di Mahkamah Majistret Shah Alam. – Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

SHAH ALAM: Mahkamah Majistret di sini hari ini, mengekalkan syarat jaminan yang melarang suami penyanyi popular, Ziana Zain, menemui anak mereka yang didakwa dicederakannya, tiga bulan lalu.

Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin memutuskan demikian kerana ia sudah tertakluk dengan syarat jaminan yang dibenarkan mahkamah sebelum ini.

Selain mangsa, arahan itu termasuk tidak membenarkan tertuduh, Armin Zaharin Ahmad Zambri, 53, mendekati pengadu iaitu Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain, 50, sepanjang perbicaraan kes itu.

Bagaimanapun, Raja Noor Adilla tidak membuat keputusan mengenai kebenaran menemui tiga anak tertuduh yang lain kerana ia lebih kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Terdahulu, Armin yang diwakili peguam Mohd Rizal Bahari mengemukakan permohonan itu secara lisan dengan menyatakan hasrat mahu menemui anaknya.

Turut hadir ketika prosiding itu, peguam pemerhati dilantik Ziana, Luqman Mazlan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Megat Tharif Afendi.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 27 Jun depan bagi pengurusan kes dan tarikh perbicaraan.

Pada 15 Mei lalu, Armin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu didakwa sengaja menyebabkan luka dan lebam ke atas anak lelaki berusia sembilan tahun dengan menggunakan rotan di bahagian tangan.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di rumahnya di Denai Alam di sini, antara jam 8 malam hingga 10.30 malam, 24 Februari lalu.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara hingga setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Pada hari sama, Mahkamah Rendah Syariah di sini, menetapkan 28 Jun depan sebagai tarikh sebutan bagi mendengar laporan Jawatankuasa Pendamai berhubung kes perceraian pasangan itu.

Hakim Syarie Mohd Nizar Mohtar memutuskan demikian selepas Armin enggan melafazkan talak secara baik kerana mahu menemui semua anak mereka.

Pasangan yang bernikah pada Mei 1998 itu dikurniakan empat cahaya mata, Muhammad Aiman, 19, Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.