Hidup hari ini, lupakan kelmarin dan esok

MALAM Khamis minggu lalu, esoknya umat Islam mula berpuasa. Rasa-rasanya, semua umat Islam teruja untuk bersolat jemaah di masjid atau surau, bertarawih dan witir bersama-sama ahli keluarga, jiran setaman atau penduduk kampung.

Malam itu selepas Isyak, penuh ruang solat dengan jemaah yang begitu bersemangat menunaikan tarawih. Keadaan sama berlarutan sehingga empat atau lima malam seterusnya. Masuk minggu kedua, jumlah saf semakin berkurangan, panjangnya juga tidak sama lagi seperti malam-malam awal Ramadan.

Jika pada awal puasa, bersemangat melakukan tarawih 20 rakaat, malam berikutnya hanya lapan rakaat. Ia bukan perkara baharu, sebaliknya situasi biasa pada bulan puasa, terutama dalam kalangan sesetengah generasi belia yang mungkin menganggap mereka masih sihat dan berusia muda untuk beribadat pada Ramadan berikutnya. Kelakuan yang sudah biasa pada diri manusia, dinamakan tabiat.

Tabiat yang lazim pada kita ialah mudah berasa bosan. Benda yang ritual, yang terlalu lama, perkara sama dilakukan setiap hari, memang mudah mengundang rasa bosan.

Mungkin kerana bertarawih di tempat sama setiap malam, semangat kita untuk mengerjakannya tidak kekal seperti malam-malam awal Ramadan kerana tarawih seolah-olah menjadi satu ritual dan rutin tanpa roh.

Namun, rasa bosan tidak boleh dijadikan alasan, sebaliknya kita harus cari penyelesaian. Sayang jika dibiarkan bulan puasa yang penuh dengan keberkatan itu berlalu begitu sahaja kerana dalam setahun, Ramadan hanya sebulan dan belum tentu kita ada kesempatan lagi bertemu bulan berkenaan pada tahun depan.

Antara cara untuk tetap menjaga semangat dan tidak meninggalkan tarawih adalah dengan berpindah-pindah masjid setiap malam atau selang dua tiga malam untuk mendapatkan suasana dan pengalaman baharu.

Lebih nikmat lagi, jika kita ikut berbuka bersama di masjid yang disinggahi, iftar bersama jemaah setempat dengan menu seadanya, berjemaah Maghrib dan Isyak serta kemudian tarawih bersama rakan baharu yang mungkin boleh meninggalkan kenangan indah buat kita.

Kikis rasa malas, buang jauh-jauh persepsi dan alasan ‘esok masih ada’ atau ‘tahun depan pun Ramadan datang lagi’.

Tanamkan dalam fikiran bahawa setiap hari kita bernafas ini adalah hari yang terakhir. Sematkan dalam fikiran bahawa tarawih kita tunaikan pada malam itu adalah tarawih terakhir dan tiada lagi tarawih pada esoknya.

Kata-kata kegemaran pakar motivasi, ‘hiduplah hari ini, lupakan kelmarin dan esok’ juga boleh menjadi suntikan untuk kita sentiasa memperbaiki ibadat dalam kehidupan seharian.

Lupakan bahawa kita pernah beribadat semalam, kelmarin dan tahun sebelumnya. Jangan berfikir bahawa kita boleh beribadah lagi pada keesokannya.

Tanamkan juga dalam fikiran bahawa ‘dunia adalah tempat berpenat, di akhirat nanti kita berehat’.

Berbicara mengenai bulan puasa, jangan juga kita lupa kewajipan yang ditetapkan pada bulan istimewa ini, iaitu membayar zakat fitrah.

Bukan susah pun nak bayar zakat fitrah. Amil ada di mana-mana sekarang, di kompleks beli-belah, bazar Ramadan, masjid dan surau, pelbagai tempat tumpuan awam, malah ada amil yang datang ke tempat kerja kita.

Zakat fitrah adalah fardu dan tanggungjawab terhadap masyarakat, satu daripada Rukun Islam, sekali gus menjadi tanggungjawab bagi setiap orang Islam menunaikannya dengan tidak mengharapkan apa-apa pembalasan daripada yang menerima.

Jangan bertangguh sehingga hari terakhir Ramadan atau sebelum solat sunat Aidilfitri baru mahu kelam kabut menunaikan kewajipan itu.

Penulis adalah Pengarang Berita Kanan Rencana dan Laporan Khas BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.