‘Janganlah hentam macam kami tiada maruah

SELEPAS drama Isteri Untuk Diiktiraf (IUD) muncul drama paling diminati dan berada di tangga kedua trending laman Twitter sepanjang minggu lalu, tiba-tiba ada pihak mengecam karya terbabit.

Mereka yang menggelarkan diri sebagai penonton ‘urban’ mendakwa IUD yang ditayangkan di TV1 setiap hari jam 7 malam menampilkan tema berada di takuk sama dan tiada peningkatan.

Perkara itu diluahkan dalam laman sosial milik Sheila Rusly selaku pengarah urusan syarikat menghasilkan drama itu.

Sheila dihubungi, hari ini menjelaskan pihaknya cuba menghasilkan karya yang temanya bersesuaian dengan Ramadan.

“Ramadan orang suka menonton drama mempunyai unsur bermula dengan pengkhianatan kemudian datang keinsafan dan kesedaran. Cuma sedihnya, penonton menganggap diri mereka ‘urban’ tidak menonton drama Melayu sangat suka mengecam.

“Sebagai penerbit, kita menghasilkan drama-drama untuk tontonan semua lapisan masyarakat. Tidak wujud istilah urban atau karya untuk mereka yang duduk di luar bandar,” katanya.

Tegas Sheila, kalau penonton ‘urban’ rasa tidak terhibur kerana IUD berada ditakuk yang sama dan tiada ada peningkatan, terpulanglah kerana apabila tiba Ramadan penonton gemar cerita bertemakan seperti apa yang dipaparkan dalam IUD.

“Penonton tidak suka cerita yang moden dan urban memaparkan kisah remaja bercinta. Tema seperti itu tidak kena sebab drama dihasilkan harus ada tema kekeluargaan, keinsafan, penyesalan dan pengkhianatan terutamanya ketika Ramadan.

“Orang mahu lihat hikmah berlaku selepas terjadinya pengkhianatan. Jahat dibalas jahat dan baik dibalas baik. Mesej paling utama dalam drama bersiri IUD, kalau seseorang itu bersabar, kebahagiaan akan muncul.

Kata Sheila lagi, sekiranya di bulan Ramadan penerbit drama menghasilkan drama bertemakan funky dan kinky tidak mungkin penonton Melayu dan Islam boleh menerimanya.

“Kecuali orang yang urban dan tak puasa akan suka. Tetapi penonton yang berpuasa dan mengabdi diri kepada Allah SWT mereka suka cerita yang ada unsur keinsafan,” katanya.

Jelas Sheila lagi, pihaknya menghasilkan IUD bukan untuk memaksa semua golongan masyarakat menonton. Sebaliknya ia bergantung penuh kepada pilihan.

“Kalau mereka mahu menonton drama seperti IUD mereka bolehlah menonton TV1. Mahu siaran ‘urban’ tengok ntv7 dan nak lagi ‘urban’ tontonlah HBO. Pilihan dihujung jari, mudah ambil saja remote dan tekan.

“Pihak kami tidak pernah memaksa penonton untuk menonton IUD, kalau rasa terhibur nak menonton, Alhamdullilah dan dipersilakan menonton dan kalau tak nak tak mengapa dan tidak berdosa pun kalau tidak menonton. Tapi janganlah sampai ‘hentam’ kami seperti kami tidak punya maruah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.