Kuih ‘Selak Pintu’ Hanya Muncul Pada Ramadan

BATU PAHAT: Kuih ‘selak pintu’ atau papudak yang juga kuih tradisi masyarakat Banjar di negara ini, kini amat jarang ditemui dan hanya muncul ketika Ramadan dan keraian tertentu.

Kuih papudak adalah antara juadah kuih manis yang sentiasa dicari orang ramai di sini, bagi berbuka puasa walaupun amat jarang dijual berikutan pembuatannya yang rumit.

Namun bagi Sabiah Simat, 68, yang menetap di Kampung Parit Haji Ahmad, Sri Medan, dekat sini, beliau tetap setia menghasilkan kuih tradisi berkenaan untuk dijual di Bazar Ramadan Sri Medan berikutan tidak mahu menghampakan permintaan pelanggan.

Katanya, bahan kuih papaduk hanya menggunakan adunan tepung gandum, santan, gula, air daun pandan dan sedikit garam namun proses membuat kelongsong daun pisang dari menggulung, mengisi dan merebus agak rumit dan memerlukan ketelitian.

Sabiah berkata, beliau masih mengekalkan saiz asal kuih papuduk yang panjangnya lebih 15 sentimeter itu yang dulu hanya dijual 10 sen sebiji, namun kini berharga 50 sen setiap satu.

“Dalam bahasa Banjar kuih ini dipanggil ‘sunduk lawang’ atau dalam bahasa Melayu selak atau palang pintu berikutan bentuknya yang memanjang seperti kayu selak pintu rumah zaman dahulu kala.

“Orang muda memang tak kenal kuih ini sebab jarang dibuat dan dijual kecuali masa Ramadan dan keraian atau kenduri di rumah masyarakat Banjar.

“Namun setiap kali Ramadan saya memang tidak menang tangan membuat kuih ini kerana permintaan pelanggan yang mahu menikmati kuih papaduk dan hanya mampu membuat 150 batang sehari, ” katanya ketika ditemui NSTP.

Sabiah berkata, kuih papaduk yang enak perlu lembut apabila siap direbus namun sedikit bergoyang apabila dibuka untuk dimakan.

Katanya, hanya daun pisang nipah dan kapas sesuai dibuat kelongsong kuih papudak berikutan daun pisang yang lain akan membuatkan adunan kuih berkenaan menjadi pahit apabila direbus.

“Daun pisang juga perlu direbus sebentar sebelum dapat diisi ke dalam kelongsong kerana jika tidak daun pisang akan pecah ketika ia digulung.

“Selepas adunan siap, saya akan mengulung daun pisang yang sudah direbus dengan menggunakan acuan batang paip kecil sebelum adunan diisi, diikat getah pada hujung setiap bucu sebelum direbus dalam air mendidih sehingga ia timbul yang bermakna sudah siap dimasak,” katanya.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.