PAS akan terus perjuang RUU 355 – Abdul Hadi

KUALA LUMPUR: PAS akan terus memperjuangkan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 2016 (RUU 355) walaupun Kerajaan Persekutuan masih belum memutuskan untuk membentangkannya di Parlimen.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata berdasarkan kemenangan besar PAS di Kelantan dan Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), beliau percaya rakyat khususnya di negeri terbabit, menerima agenda berkenaan.k

“Rakyat Kelantan serta Terengganu dan sebahagian besar di Kedah, berjaya melihat perjuangan PAS melalui RUU 355 adalah untuk mendidik dan bukan bertujuan mendera.

“Kita akan terus memperjuangkan RUU 355 (untuk dibentangkan di Parlimen),” katanya dalam temu bual di Astro Awani, di sini, hari ini.

Semalam, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu, memaklumkan parti itu belum mengambil pendirian berhubung cadangan supaya RUU 355 dibentangkan di Parlimen.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan dilaporkan sebagai berkata, perkara itu akan dibincang bersama kepemimpinan AMANAH dalam mesyuarat parti berkenaan yang diadakan setiap Selasa.

Ketika ini, Mohamad berkata, AMANAH dan komponen lain dalam Pakatan Harapan (PH) memberi tumpuan utama pada usaha membaik pulih ekonomi negara serta membanteras penyelewengan.

Sementara itu ditanya mengenai pembayaran tuntutan lima peratus royalti petroleum kepada Kelantan pula, Abdul Hadi berkata, beliau yakin Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, akan menyelesaikan isu berkenaan dengan baik.

“Isu tuntutan royalti ini sudah berlanjutan beberapa tahun, namun saya percaya ia akan diselesaikan bawah pentadbiran Dr Mahathir dan rakyat Kelantan boleh merasai manfaat daripadanya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyokong usaha kerajaan menyelesaikan salah laku pentadbiran terdahulu, termasuk skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Usaha kerajaan membongkar salah laku dalam pentadbiran terdahulu adalah tindakan wajar, namun pada masa sama, kita tidak boleh menafikan kebaikan dilakukan pemimpin negara sebelum ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.