Pulau Marshall diselimuti jerebu akibat Kilauea

MAJURO, PULAU MARSHALL : Letupan gunung berapi Kilauea menyebabkan keseluruhan Pulau Marshall yang terletak 3,700 dari situ diselimuti jerebu, semalam dan kerajaan memberi amaran, ia akan terus bergerak ke arah barat.

Perkhidmatan Cuaca Nasional Amerika Syarikat berpangkalan di Guam dalam satu kenyataan berkata, jerebu itu yang juga satu fenomena dikenali sebagai ‘vog’ atau asap gunung berapi kini merebak sehingga rantau Mikronesia.

Letupan Kilauea di Hawaii itu kini memasuki minggu keempat.

Ahli meteorologi turut menasihati penduduk Pulau Marshall yang mengalami masalah pernafasan untuk tidak melakukan sebarang aktiviti luar manakala syarikat penerbangan dan perkapalan diberi amaran supaya berjaga-jaga dengan tahap penglihatan buruk buat masa ini.

Gambar disediakan oleh Pengawal Kebangsaan Amerika Syarikat menunjukkan anggota Pasukan Hal Ehwal Awam Negara Hawaii memantau keadaan Gunung Berapi Kilauea di Leilani Estates di Pulau Hawai. – Foto EPA-EFE

Pejabat cuaca Guam berkata, jerebu dihasilkan oleh gunung berapi Kilauea itu akan bergerak lebih jauh sehingga Kosrae, Pohnpei dan kemungkinan Chuuk di Persekutuan Negeri Negeri Mikronesia beberapa hari lagi.

Kilauea ialah antara gunung berapi paling aktif dunia dan satu daripada lima gunung berapi terdapat di Pulau Besar, Hawaii.

Ia mula meletus 3 Mei lalu, menyebabkan perpindahan hampir 2,000 penduduk dari kediaman masing-masing di sekitar gunung berkenaan.

Ahli sains percaya aktiviti gunung berapi terbabit adalah tanda awal sebelum letupan utama seperti yang pernah menggegarkan pulau berkenaan pada pertengahan tahun 1920an. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.