Ribut Alberto ancam ribuan penduduk Florida

CHICAGO: Ribuan penduduk Florida dipindahkan menjelang ketibaan ribut sub tropika, Alberto yang kini menuju ke utara dari Teluk Mexico, selepas ia diramalkan membawa banjir yang mampu mengancam nyawa ke kawasan pesisiran pantai selatan.

“Ribut masih berada kira-kira 190 kilometer di selatan Apalachicola, Florida di Teluk Mexico pada jam 4 petang (waktu tempatan) dan ia dijangka melanda kawasan sepanjang Florida Panhandle pada Isnin.

“Alberto diramal membawa angin pada kelajuan 85 kilometer sejam dan hujan sebanyak 30 sentimeter di kawasan dari Mississippi hingga ke barat Georgia,” kata Pusat Taufan Kebangsaan Amerika Syarikat.

Dalam pada itu, pihak berkuasa daerah Franklin di Florida Panhandle sudah mengeluarkan arahan berpindah mandatori kepada semua penduduk di 4,200 unit kediaman, manakala daerah Taylor di timur, menawarkan arahan berpindah sukarela kepada penduduk di kawasan pantai.

Ladang yang dilanda banjir akibat ribut sub tropika, Alberto yang melalui pantai barat Cuba, di Bahia Honda, Cuba. – Foto REUTERS

Gabenor Florida, Rick Scott, turut mengeluarkan perintah darurat di semua 67 daerah dan berkata, 5,500 anggota pengawal kebangsaan sudah bersiapsiaga untuk dikerah jika keadaan memerlukan.

Sementara itu, Gabenor Mississippi, Phil Bryant dalam satu kenyataan berkata: “Saya meminta semua pihak supaya membuat persiapan akhir bagi pelan kecemasan untuk ahli keluarga masing-masing, terutama yang tinggal di rumah mudah alih dan kawasan rendah”. – Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.