Sijil halal hotel hanya saranan kerajaan negeri

MELAKA: Saranan supaya pengusaha hotel dan restoran di negeri itu mendapatkan sijil halal bukanlah satu arahan sebaliknya saranan semata-mata, kata Ketua Menteri, Adly Zahari.

Beliau berkata, ini kerana urusan untuk mendapatkan sijil halal adalah hak sesebuah hotel atau restoran itu sendiri dan bukannya kerajaan negeri.

“Untuk mendapatkan sijil halal atau tidak, terpulang kepada mereka (pengusaha hotel dan restoran) kerana saya hanya menyarankan bagi membantu mereka mendapat pelanggan beragama Islam yang tidak perlu ragu-ragu lagi terhadap makanan disajikan.

“Jadi, perkara ini tidak perlu menjadi isu kerana semuanya terpulang kepada pengurusan hotel atau restoran masing-masing, bagaimanapun kerajaan negeri akan mempertingkatkan usaha mempromosikan produk halal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tindak balas pihak tertentu antaranya netizen di media sosial, termasuk pengusaha hotel yang tidak senang dengan saranan berkenaan.

Difahamkan, daripada 314 dapur di resort dan hotel di seluruh Melaka, hanya 34 daripadanya memiliki sijil pengesahan halal.

Terdahulu, Adly melakukan lawatan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di Bukit Beruang di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong.

Adly berkata, komen yang dilontarkan netizen itu menggambarkan seolah-olah saranan mendapatkan persijilan halal adalah arahan daripada kerajaan negeri dan perkara itu adalah tidak benar.

“Terpulang kepada pengusaha hotel kerana mereka mempunyai segmen sasaran pelanggan berbeza dan ia bukannya satu kemestian.

“Apa yang kita sarankan ini mungkin boleh menaikkan kehadiran pelancong. Selepas ini, kita (kerajaan negeri) akan meluangkan masa bagi menjelaskan mengenai sijil halal kepada media dan juga barisan EXCO kerajaan negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Adly berkata, menerusi pertemuannya dengan Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Jalil Hasan, tiga balai polis yang kini menyewa di bangunan komersial akan ditempatkan ke lokasi baharu iaitu bangunan milik kerajaan negeri.

“Tiga balai berkenaan adalah Balai Polis Ayer Keroh, Tanjung Minyak dan Sungai Rambai yang masih menyewa bangunan akan dipindahkan ke bangunan kerajaan negeri,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.