Ini selepas berlaku ‘perang’ retorik antara pemimpin kedua-dua negara terlibat sebelum sidang kemuncak itu diadakan dan ini ibarat berulangnya skrip tahun lalu ketika Washington dan Pyongyang di ambang perang nuklear.

Walhal, Korea Utara baru sahaja memusnahkan satu-satunya tapak ujian nuklear negara itu yang dikenali sebagai Punggye-ri, pada hari sama Trump membuat pusingan-U selepas memberikan alasan permusuhan terbuka dari Pyongyang.

Selain itu, Pyongyang telah membebaskan tiga orang tahanan Amerika, bersetuju de­ngan moratorium ujian peluru berpandu dan secara senyap-senyap menerima latihan ketenteraan AS-Korea Selatan.

Mungkin terlalu gopoh, belum sampai tempoh 24 jam membuat keputusan itu, Trump mengubah pendiriannya apabila membuat kenyataan persidangan terbabit boleh diadakan selepas rundi­ngan produktif dengan pegawai dari Korea Utara.

Bercakap kepada media, Trump mendakwa Amerika sudah bersedia menghadiri sidang kemuncak itu dan perkara tersebut tidak berubah malah Washington mula menghantar satu pasukan ke Singa­pura bagi membuat persiapan sekiranya sidang kemuncak antara Trump dan Jong-un menjadi kenyataan.

Ketidaktentuan Trump itu kemudiannya mencetuskan pertemuan mengejut antara Jong-un dan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in buat kali kedua antara kedua-dua pemimpin ber­kenaan tahun ini yang menegaskan mereka mahu rundingan terbabit tetap diadakan.

Masakan tidak, Jae-in melihat sidang kemuncak Singapura adalah sebagai peluang bagi negara itu menamatkan konfrontasi dengan negara jirannya yang tercetus sejak sekian lama.

Malah, Jong-un sendiri menzahirkan hasrat beliau untuk menjayakan rundingan bersejarah itu dengan mendakwa kedua-dua negara di Semenanjung Korea perlu bekerjasama secara positif bagi memperbaiki hubungan Pyo­ngyang-Washington selain me­wujudkan mekanisme bagi keamanan yang tetap.

Apa yang pasti, sidang kemuncak di Singapura itu amat penting bukan sahaja bagi Korea Utara, Korea Selatan dan Amerika Syarikat, bahkan seluruh dunia menantikan perkembangan positif tersebut.

Amerika yang menganggap negara itu sebagai polis dunia sudah tentu mendapat manfaat daripada perjanjian tersebut memandangkan tekad Jong-un untuk memansuhkan program nuklear negara itu sekali gus mengembalikan keamanan bukan sahaja di Semenanjung Korea malah di benua Asia.

Malah, Trump sebagai seorang pemimpin baharu mahu memastikan sidang kemuncak itu akan menjadi pencapaian diplomatik terbaik beliau yang pernah dicapainya semasa memegang jawatan Presiden Amerika.

Korea Utara pada masa sama akan meraih ganjaran menerusi penarikan balik sekatan ekonomi dan diplomatik yang dikenakan negara-negara dunia terhadap republik itu selain memungkinkan masyarakat dunia mula tertumpu untuk menjalinkan hubungan dengan Pyongyang.

Sebagai jiran, Korea Selatan sudah pasti bakal mendapat manfaat yang lebih besar apabila negara itu akhirnya bebas daripada belenggu peperangan sejak berlakunya Perang Korea.

Selain itu, Jae-in yang baru dilantik sebagai Presiden turut berjaya merealisasikan manifes­tonya semasa kempen pilihan raya Presiden lalu selepas beliau menjanjikan untuk mengadakan dialog dan mencari penyele­saian kepada perang dingin yang membelenggu Korea Utara-Korea Selatan.

Jelas, sebelum berlangsungnya sidang kemuncak itu, Trump dan Jong-un seharusnya ‘bermuhasabah diri’ dalam mengelakkan sebarang retorik baharu yang boleh memburukkan keadaan.

Apa yang pasti, konflik antara Pyongyang dan Washington ha­nya menyebabkan wujudnya ke­tidakpastian terhadap kea­daan di Semenanjung Korea selain menjejaskan hubungan Korea Utara dan Korea Selatan.

Selain itu, sebarang pusingan-U oleh Washington hanya memberi peluang kepada Jong-un mengukuhkan lagi pengaruhnya selepas kejayaannya memulihkan hubungan dengan China dan menyatukan Semenanjung Korea serta menjatuhkan imej Trump di mata dunia.