DATUK AWIE
DATUK AWIE

Begitulah permainan bijak vokalis kumpulan Wings, Datuk Awie apabila menyerapkan satu nama besar dalam industri hiburan Malaysia, Edrie Hashim untuk sama-sama menjayakan persembahan pada majlis berbuka puasa, Iftar Nostalgia Ramadan Bersama Kumpulan Gitar Rancak Wings bertemakan Nostalgia Jalan Tuanku Abdul Rahman di Hotel Premiera, dekat sini, malam tadi.

Walaupun sebenarnya tiada kata putus sama ada daripada pihak Awie (Wings) ataupun Edrie untuk menjadi anggota tetap dalam kumpulan rock otai itu namun apa yang penting ialah kerjasama, persefahaman dan chemistry yang mampu terjalin di dalam Wings.

“Setelah kita semua tahu kemelut yang berlaku dalam Wings, bagi saya bekerja dengan Edrie ini senang. Dia ada idea. Dulu, semasa album pertama Wings, dialah yang jadi penerbit.

“Sekali lagi saya katakan di sini, senang bekerja dengan Edrie. Kehebatan tidak menjamin sesebuah album itu jual. Yang penting, ada good chemistry, memberi dan menerima,” kata Awie usai persembahan.

Kata Awie lagi, mencari ruang dan peluang mengambil masa kerana banyak faktor yang perlu diambil kira untuk melengkapkan anggota dalam kumpulan Wings ini.

Justeru keserasian yang akan menentukan segala-galanya, sama ada Edrie Hashim kekal bersama Wings atau sebaliknya.

Lagipun, kata Awie, tidak perlu terburu-buru untuk mendapatkan anggota kelima Wings kerana maklumlah, Wings bukannya ada penaja atau sponsor yang besar.

“Selain Edrie yang kita tahu dia sibuk, jadi juri, sibuk dengan persembahan, Sham juga ada band dia sendiri. Tapi yang penting, steady. Kita teruskan. Kalau berjaya, sama-sama kita rasa, kita bahagi sama rata.

“Yang penting bagi kami Wings ialah semangat setia kawan. Wings sudah berusia 33 tahun dan kita nak happy. Kita nak gembira. Tak nak ada yang panas baran tak bentu fasal. Panas baran yang bodoh-bodoh. Kita stabilkan semangat setia kawan dan kita hasilkan yang terbaik untuk industri.

“Wings ialah satu band yang melahirkan muzik yang kedpen. Kalau kita keluar dengan satu lagu, biar lain daripada yang lain. Wings kena ada statement dan Wings adalah satu unit yang berjuang dalam industri muzik,” jelas Awie penuh makna.

Sementara itu, Edrie Hashim pula berkata, sejak beliau dibangku sekolah lagi, telah mengikuti muzik kumpulan Wings.

Maka apabila dapat bersama-sama dengan kumpulan hebat otai ini, ia satu penghargaan dan sayang jika muzik hebat seperti yang dimainkan oleh Wings, dimatikan.

“Untuk single baharu Wings, materialnya sudah ada. Bunyi dan susunan muziknya mendapat restu daripada semua yang menganggotai Wings.

“Lagu baharu Wings yang saya cipta, dipersetujui oleh Awie, Eddie dan Black. Walaupun lagu ciptaan saya tapi ia perlu melalui tapisan-tapisan dan dipersetujui bersama,” kata Edrie memberi bayangan, ada elemen Jawa dan Jepun disuntik ke dalam single terbaharu Wings yang akan dirakamkan tidak lama lagi. – UTUSAN ONLINE