Warga asing jual ‘nasi mandy’ di bazar Ramadan

SHAH ALAM: Seorang peniaga warga Syria yang menjual ‘nasi mandy’ dan ‘nasi kasbah’ diberi amaran kerana tidak mempamerkan tanda harga di bazar Ramadan Seksyen 13, di sini.

Warga asing itu adalah antara enam peniaga yang dikenakan amaran dalam operasi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor bermula jam 6 petang Ahad.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Selangor, Azman Adam, berkata pihaknya akan berhubung dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) susulan kebenaran seorang peniaga warga Syria berniaga di tapak bazar itu.

“Ini yang pertama (membabitkan amaran kerana gagal letak tanda harga kepada warga asing) dan perkara ini akan dipanjangkan kepada pihak MBSA,” katanya selepas melakukan pemeriksaan di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Azman berkata, hingga semalam, pihaknya sudah membuat pemeriksaan terhadap 5,150 gerai yang beroperasi di bazar seluruh negeri itu.

“Sebanyak 4,620 gerai terletak di kawasan bandar, manakala selebihnya di luar bandar. Hingga semalam juga, sebanyak 52 amaran dikeluarkan kepada peniaga yang didapati gagal meletakkan tanda harga.

“KPDNKK beri mereka peluang sebab sebahagian besar berniaga secara bermusim dan juga berniaga separuh masa sahaja untuk memperoleh pendapatan tambahan.

“Amaran diberikan dalam tempoh tiga hari, pegawai KPDNKK akan datang semula dan pada masa itu sekiranya peniaga yang diberi amaran ingkar, tindakan akan diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, daripada lebih 2000 aduan diterima pihaknya, hanya 17 aduan membabitkan kenaikan serta tanda harga mengelirukan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.