Pekerja Pakistan Di Malaysia Dinasihat Patuhi Peraturan Tempatan

KUALA LUMPUR – Pekerja Pakistan di Malaysia dinasihati tidak tinggal melebihi tempoh dan mengunakan saluran betul untuk mencari pekerjaan.

Pesuruhjaya tingginya di Malaysia Syed Hassan Raza berkata mereka juga perlu menghormati undang-undang dan peraturan tempatan.

Katanya sebanyak 400 rakyat negara itu dihantar pulang dalam tempoh 10 minggu lepas kerana tinggal melebihi tempoh di Malaysia.

Urusan penghantaran pulang mereka dijalankan dengan kerjasama antara Suruhanjaya Tinggi itu dan Jabatan Imigresen Malaysia, kata beliau kepada Bernama selepas melawat ibu pejabat agensi berita nasional itu di sini hari ini.

“Sesetengah pekerja Pakistan yang datang ke Malaysia melakukan kerja lain setelah tempoh visa mereka tamat dan perbuatan ini boleh menyebabkan timbul banyak masalah pada masa depan. Tolong, jangan buat begitu. Pulang dulu dan datang semula dengan menggunakan saluran dan dokumen sewajarnya,” kata beliau.

Sempena lawatannya ke Bernama, Syed Hassan Raza mengadakan perbincangan ringkas dengan Ketua Pengarang Datuk Zulkefli Salleh, Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita Dalam Negeri) Datuk Zakaria Abd Wahab dan Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita Luar Negeri/Antarabangsa) Ahmad Zukiman Mohd Zain.

Syed Hassan Raza beRkata beliau amat tertarik dengan Malaysia kerana mempunyai masyarakat pelbagai etnik dan kagum dengan sikap rakyat Malaysia yang bersatu padu serta hidup dalam suasana bertolak ansur, harmoni dan saling menghormati agama satu sama lain.

ke_01.1

Beliau juga berkata agensi media Malaysia dan Pakistan boleh menjadi jambatan untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang pendidikan, berita dan maklumat demi manfaat kedua-dua negara.

Beliau juga berharap lebih banyak pelajar Malaysia meneroka peluang pembelajaran, terutama dalam bidang perubatan dan pergigian di Pakistan.

Ketika membuat saranan itu, beliau berkata terdapat banyak universiti dan kolej berkualiti di Pakistan, yang popular di kalangan pelajar Malaysia pada 1980-an.

“Setiap tahun di Pakistan, kami ada tempat untuk pelajar asing dari negara Islam dan negara membangun dan kami menggalakkan pelajar Malaysia meneroka peluang ini. Ijazah kami diiktiraf dengan meluas di Malaysia dan seluruh dunia.

“Kami mempunyai pakar dan pensyarah untuk kursus perubatan dan pergigian serta latihan amali. Walaupun kursus ini mencabar, kami (Pakistan) sentiasa bersedia mempersiapkan pelajar untuk menghadapinya,” kata beliau.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.