JAIS tegas keputusan tak keluarkan tauliah kepada ahli politik

SHAH ALAM 28 Sept. – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tegas dengan keputusannya untuk tidak mengeluarkan tauliah kepada ahli politik yang mahu berceramah atau menyampaikan tazkirah di masjid dan surau di negeri itu.

Pengarahnya Marzuki Hussin berkata, JAIS tidak akan berkompromi walaupun ada pihak yang meminta supaya perkara itu diteliti semula.

Tindakan untuk tidak mengeluarkan tauliah kepada ahli politik itu adalah selaras dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya masjid dan surau tidak dijadikan tempat berpolitik, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

“Mereka (ahli politik) boleh memohon tetapi jawatankuasa tauliah akan mempertimbangkan mengikut peraturan sedia ada sebagaimana yang dititahkan oleh Tuanku.

“Popular tidak popular tidak timbul sebab sesiapa yang memohon tauliah kita akan ikut peraturan biasa,” katanya yang ditemui pada Majlis Aidilfitri di Bangunan Sultan Idris Shah. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.