Krisis Eropah takutkan AS – Obama

MOUNTAIN VIEW, California 27 Sept. – Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama merungut bahawa krisis kewangan Eropah telah menakutkan dunia.

Dalam kenyataan terbaharu mengenai kekecewaannya mengenai situasi yang menyebabkan AS bimbang pemulihan negara itu akan mengambil masa lebih lama, Obama berkata, masalah di Zon Eropah menjadi faktor asing yang menyebabkan ekonominya lembap.

”Di Eropah, anda tahu, negara-negara itu belum pulih daripada krisis pada 2007 dan tidak pernah berhadapan sepenuhnya dengan semua cabaran yang berlaku dalam sistem perbankannya,” katanya dalam satu forum yang dianjurkan oleh rangkaian sosial LinkedIn.

”Situasi kini diburukkan lagi dengan keadaan Greece. Jadi menghadapi krisis kewangan yang menakut dunia.

”Mereka telah cuba mengambil tindakan bertanggungjawab tetapi tindakan itu tidak sepantas seperti yang sepatutnya,” ujar beliau.

Kenyataan itu dibuat selepas AS menyatakan Eropah mempunyai kapasiti untuk menyelesaikan krisis hutang berdaulat, menunjukkan negara itu telah menunjukkan tanda-tanda tidak sabar dengan tindakan pemimpin politik Kesatuan Eropah.

Setiausaha Perbendaharaan AS, Timothy Geithner pada minggu lalu berkata, AS telah memainkan peranan besar dalam membantu Eropah mencari strategi yang lebih efektif untuk menangani krisis kewangan.

Saham AS dan Eropah naik semalam dengan spekulasi meluas mengenai bantuan dana bagi membantu Zon Eropah menangani krisis hutang.

Tetapi, Jerman berundur diri daripada membantu Eropah mendapatkan bantuan hutang dan Greece pula terpaksa merintih berikutan tindakan juruaudit yang mengekang pinjaman yang diperlukan untuk mengelakkan berlaku keingkaran. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.