Sebak pengantin baru

KEDUA-dua mempelai mengalirkan air mata tatkala Norman Hakim membaca lafaz takliq selepas selamat diijabkabulkan dengan Memey Shuhaiza dalam satu majlis yang sederhana, di kediaman pengantin perempuan di Felda Tenggaroh Selatan 1, Johor, Sabtu lalu.

Baik Norman , 35, mahupun Memey , 23, titisan air jernih tersebut bukan simbol resah jiwa dek lara yang sering singgah dalam kehidupan mereka sebelum bergelar pasangan suami isteri yang sah.

Namun, ia adalah tanda gembira dan kesyukuran yang tidak terucap melalui kata-kata apabila kasih dan janji yang di pateri sudah termeterai dengan ikatan suci sebagaimana yang diimpikan selama ini.

Masakan tidak, dengan sekali lafaz sahaja, Norman atau Muhammad Norhakim Zaidon sah bergelar suami kepada pemilik nama Suhaiza Suhaimi, puteri ketiga pasangan Suhaimi Sarwani dan Norlela Abdul Rahman.

Malah detik bersejarah pasangan pengantin baru itu turut diraikan bersama dua cahayamata Norman hasil perkahwinan pertamanya dahulu dengan Abby Abadi iaitu Mohamed Danish Hakim, 8, dan Marissa Dania Hakim, 6.

Mengimbau rentetan majlis pernikahan pasangan kontroversi itu, kehadiran Norman diiringi keluarga terdekat di kediaman orang tua Memey pada Sabtu, 24 September lalu kira-kira pukul 4.40 petang disambut meriah keluarga mertuanya.

Nyata Norman kelihatan tenang menunggu saat dia menggenggam tangan juru nikah Mukim Kambau, Zulkipli Tarmizi dengan mas kahwin, RM22.50 dalam satu majlis yang penuh bermakna.

Sebaik sahaja lafaz nikah diucapkan dengan jelas oleh Norman, dari raut wajah Memey, dia nampak lega dan gembira untuk melayari bahtera rumah tangga dengan lelaki yang dicintainya.

Pada majlis yang sama, keluarga masing-masing bertukar-tukar dulang hantaran. Norman memberi lima dulang berupa set barangan kemas iaitu cincin dan rantai, Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS), kek buah yang dibentuk menjadi beg tangan Gucci, sirih junjung serta senaskah al-Quran.

Pemberian Norman dibalas tujuh oleh Memey iaitu sebuah iPad2, cincin berlian, coklat, buah-buahan, kek lapis Sarawak dan senaskah al-Quran.

Pasangan itu sebelum dinikahkan, telah mengikat tali pertunangan pada 13 September tahun lepas dan pada majlis pernikahan, Memey turut menerima wang hantaran sebanyak RM24,000 daripada suaminya.

Sebagai tanda kasih Norman terhadap isteri yang baru dinikahinya itu, untuk upacara membatalkan air sembahyang, dia mengalungkan seutas rantai ke leher jinjang Memey.

Tidak lengkap adat perkahwinan di Johor sekiranya isteri tidak menuturkan ikrar taat setia kepada suaminya.

Dengan busana sedondon berwarna coklat hasil sentuhan Ezuwan Ismail, kedua-dua mempelai bukan sahaja sebak malah menitiskan air mata saat Memey membaca lafaz ikrarnya itu dengan penuh emosi.

Ada ketikanya, Memey terpaksa berhenti seketika sebelum menghabiskan bacaannya.

Majlis persandingan

Majlis persandingan kedua mempelai telah diadakan pada keesokan harinya, Ahad bertempat di rumah pengantin perempuan.

Seawal pukul 8 pagi, perkarangan rumah Memey riuh rendah dengan gelak tawa para tetamu yang hadir untuk meraikan pasangan pengantin baru ini.

Deretan khemah yang bina di sepanjang jalan di hadapan rumah pengantin perempuan mula dipenuhi tetamu kira-kira pukul 10 pagi biarpun pada ketika itu, gerimis turun.

Sebagai pasangan artis, majlis persandingan mereka diserbu lebih 5,000 hadirin termasuk peminat.

Persandingan berkonsepkan dalam taman mendapat sentuhan Iezla Bridal sememangnya cantik menyebabkan hadirin yang hadir, tidak mahu melepaskan peluang untuk merakamkan foto.

Bagi memeriahkan lagi majlis persandingan, hadirin dihiburkan dengan persembahan nyanyian dan tarian zapin Felda Bukit Aping Barat, Kota Tinggi, Johor.

Suasana menjadi semakin gamat tatkala paluan kompang Kumpulan Kompang Daerah Mersing kedengaran kira-kira pukul 2.45 petang sebagai tanda, ketibaan lelaki.

Seperti pasangan pengantin yang lain, biarpun bergelar aktor, ia bukan tiket untuk Norman terlepas daripada melalui ‘tol’ yang disediakan pihak perempuan sebelum dapat bersanding di atas pelamin dengan Memey.

Untuk majlis persandingan, Norman dan Memey memilih warna pic dan merah jambu rekaan Hatta Dolmat.

Bagi acara memotong kek setinggi tiga tingkat yang dihias dengan gambar Raja Sehari ini, mereka memilih busana berwarna putih dan merah jambu hasil sentuhan Rizman Ruzaini.

Hidup baru

Ketika ditemui pemberita usai majlis, kedua-dua pengantin baru itu melahirkan rasa syukur atas kelancaran majlis pernikahan dan persandingan mereka.

Malah ketika ditanya perihal sebak dan air mata selepas akad nikah, Norman memberitahu, itu adalah perilaku spontan sebaik mendengar juru nikah membacakan khutbah nikah dan bercerita tentang tanggungjawab hidup sebagai suami isteri.

Apatah lagi apabila terkenangkan sejarah perkahwinan lalu yang kecundang di tengah jalan, ujar Norman, memberinya banyak pengajaran untuk melayari perkahwinan kali keduanya itu.

“Saat ini, saya sedar bahawa apa yang saya rasakan dalam hati ialah tanggungjawab mendatang yang harus saya laksanakan dengan sempurna.

“Terus terang saya katakan bahawa sejarah silam yang tersimpan dalam lipatan hidup saya, akan dijadikan iktibar supaya saya tidak mengulangi kesilapan yang sama.

“Bagi saya perkahwinan adalah ibadah dan saya akan berusaha menjadi yang terbaik kepada orang di sekeliling saya selain sentiasa belajar untuk menjadi nakhoda sebuah bahtera yang sempurna,” jelas Norman.

Kata Norman lagi, dia berharap agar semua pihak mendoakan yang terbaik dan kesejahteraan di atas ikatan yang saya bina hari ini bersama Memey.

Perbualan bersama Hits disampuk oleh Memey yang memberitahu, perkahwinannya itu merupakan bermulanya lembaran baru dalam kehidupan.

“Semua orang ingin menyempurnakan kitaran hidup dan bagi saya, inilah pusingan kehidupan yang saya ingin lalui bersama suami.

“Saya menitiskan air mata pada hari pernikahan kerana bersyukur yang akhirnya hati kami disatukan untuk hidup sebagai pasangan suami isteri.

“Apa tah lagi dengan segala kontroversi yang melanda kami sebelum ini, niat suci dan ikhlas kami untuk membina masjid dimakbulkan Tuhan,” kata Memey yang memuji sikap Norman yang pandai mengambil hati.

Kata Memey lagi, dia berterima kasih dan bersyukur kerana majlis pernikahan dan persandingannya turut dihadiri oleh dua daripada tiga cahaya mata Norman hasil perkahwinan terdahulu.

“Kehadiran mereka menjadi sebahagian daripada hidup saya. Saya tidak berniat menggantikan tempat ibu kandung mereka, sebaliknya kehadiran anak-anak turut membahagiakan saya,” ujarnya yang berhajat untuk berkunjung ke Mekah dan Paris sebagai destinasi bulan madu biarpun tarikhnya belum dapat ditentukan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.