SPR teruskan pembersihan Daftar Pemilih

PUTRAJAYA 27 Sept. – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan supaya pembersihan Daftar Pemilih dijalankan secara berterusan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.

Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata, keputusan tersebut dibuat pada mesyuarat bulanan SPR hari ini.

Menurutnya, dalam proses pembersihan tersebut, SPR telah membuat semakan dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Arah Rekod dan Pencen (JRP), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Hasil daripada semakan itu, SPR mendapati ada rekod-rekod pemilih yang perlu dikeluarkan daripada Daftar Pemilih atas pelbagai sebab antaranya pemilih telah meninggal dunia, dilucut warganegara, bersara daripada polis dan tentera.

“Ia juga melibatkan pertukaran status pasangan tentera atau polis daripada pengundi tidak hadir (PTH) kepada pengundi awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kamaruddin berkata, ia juga disebabkan perubahan status pengundi pos di kalangan pengundi yang telah kembali dari luar negara dan perubahan status pemilih awam kepada pemilih pos kerana pergi ke luar negara.

“Berhubung pemilih yang meninggal dunia dari Julai hingga 15 September tahun ini, sebanyak 69,293 rekod pemilih telah dipotong setelah mendapat pengesahan daripada JPN.

“Pada tempoh itu juga, SPR telah memotong sebanyak 1,068 rekod pemilih kerana telah disahkan dilucut warganegara,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, SPR juga sedang menjalankan siasatan lanjut terhadap 50,000 rekod pemilih agar tidak berlaku kesilapan semasa pemotongan rekod dijalankan.

Menurutnya, siasatan tersebut memerlukan SPR mendapat pengesahan kerjasama daripada JPN, JRP dan PDRM mengenai status warganegara, nombor kad pengenalan dan status perkhidmatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.