Pas Takut Tempelak COMANGO

KUALA LUMPUR – Bukan sahaja tuntutan Gabungan NGO  Hak Asasi Manusia (Comango) yang perlu dihadapi oleh Pas tetapi sebenarnya parti  itu akan berdepan dengan lebih banyak tuntutan yang mencabar prinsip Islam  sekiranya masih terperangkap dalam tahaluf siyasi parti-parti  pembangkang.

Aktivis Pas, Norman Toha berkata, Pas perlu segera keluar daripada  pakatan pembangkang sekiranya tidak mahu imej ‘kuda tunggangan’ dan ‘lembu  dicucuk hidung’ terus membelenggu parti itu oleh DAP dan Parti Keadilan Rakyat  (PKR).

“Saya mengakui ada perkembangan yang baik dalam Pas dengan Dewan Pemuda Pas  Pusat mendesak Comango menggugurkan segala tuntutan kepada Pertubuhan  Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyentuh sensitiviti umat Islam di negara  ini.

“Bagaimanapun, saya melihat tahaluf siyasi masih membelenggu banyak  pemimpin utama Pas kerana sehingga kini mereka tidak berani menempelak Comango  walaupun perkara itu bertentangan dengan prinsip Islam dan menyalahi fitrah  manusia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.

Menurutnya, lagi lama Pas bertangguh untuk keluar daripada pakatan  pembangkang, lagi banyak Pas akan berdepan dengan tuntutan-tuntutan oleh rakan  pembangkangnya yang akan menghakis kepentingan orang Islam dan Melayu.

Sebelum ini, Ketua Delegasi Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Dalam Proses  Semakan Berkala Sejagat (MuslimUPro), Azril Mohd. Amin berkata, keberanian  Comango mengemukakan tuntutan yang menyentuh sensiviti umat Islam kepada PBB  dipercayai ada kaitan dengan sokongan pembangkang.

Dalam pada itu, seorang lagi aktivis Pas, Mohd. Riza Kamaruddin,  beliau menggesa Majlis Syura dan Dewan Ulama Pas untuk mengemukakan pendirian  sebenar parti itu terhadap tuntutan Comango.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Dewan Pemuda Pas dan saya meminta kalau  perjuangan mereka serius, usul mengenai tuntutan Comango ini perlu dibentangkan  dan dibahaskan dalam Muktamar Pas nanti.

“Saya melihat tuntutan Comango ini merupakan ujian untuk mengukur sejauh mana  dominasi Pas dalam tahaluf siyasi, kalau Pas takut dan teragak-agak untuk  menjuarai isu orang Islam, saya kira tahaluf siyasi itu telah gagal,”  katanya.

Dalam pada itu, bekas Ahli Jawatankuasa Pas Kawasan Teluk Kemang, Mohd.  Hidzir Othman berkata, Pas perlu mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku  dengan perpaduan ummah sehingga Comango berani membuat tuntutan yang mencabar  Perlembagaan Persekutuan dan kedudukan agama Islam di negara ini.

“Sekiranya tiada perpaduan, dibimbangi perkara-perkara yang lebih buruk akan  dituntut oleh lebih banyak NGO, maka Pas perlu mengutamakan perpaduan ummah  supaya umat Islam menjadi kuat dan disegani serta digeruni oleh pihak lawan dan  kawan,” katanya yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Insan Penyayang Negeri  Sembilan. – Utusan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.