Ifa berniaga sampai malam raya

KUALA LUMPUR: Ligat penerima dua kali trofi Artis Versatil Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ini mencari rezeki sepanjang Ramadan.

Menceritakan kesibukannya, Ifa Raziah memberitahu, Ramadan kali ini, dia akan berniaga sehingga malam raya di Singapura.

“Semua orang tahu sejak dulu lagi saya suka berniaga… Memang sudah jadi minat saya. Hendak berniaga, kenalah ada minat. Setakat hendak ‘pose’ cantik, tak jalan lah rasanya.

“Kali ini, saya akan berniaga sehingga malam raya di Singapura dan besar kemungkinan, Syawal ketiga baru saya akan pulang ke Kuala Lumpur.

“Sejak bertahun dulu, setiap kali Ramadan, saya akan menjual biskut seperti tat nanas dan kek lapis selain hamper raya,” katanya kepada BH Online.

Ifa berkata, aktiviti perniagaannya bertambah rancak selepas menghasilkan minuman tambahan, Solid Molid.

Ifa Raziah di majlis pelancaran koleksi Aulia by Razman Razmi di Hotel Grand Millenium. – Foto Zunnur Al Shafiq

“Sejak ada produk sendiri, saya kenalah turun padang. Saya mestilah tunjuk hasilnya. Ada yang kecam dan tak percaya kononnya saya membuat teknik suntingan gambar sebab hendak nampak kurus.

“Sekarang, bila saya ada di depan mata, tengoklah puas-puas sama ada saya tipu atau tidak,” katanya.

Mengaku keletihan, Ifa berkata, dia mahu meningkatkan taraf kehidupannya dan menjadi kaya seperti usahawan komestik, Datuk Seri Vida.

“Saya memang jenis rajin bekerja kerana bukan senang hendak cari duit. Saya pula tak reti duduk diam. Kalau duduk rumah goyang kaki, saya boleh demam memikirkan duit tak masuk,” katanya.

Disebabkan sibuk berniaga, Ifa yang popular dengan lagu Ser Ser Ser mengaku tidak pernah memasak sejak Ramadan bermula.

“Saya hanya memasak setahun sekali iaitu apabila tibanya Aidilfitri. Anak dan suami faham saya sibuk mencari duit,” katanya yang semakin langsing selepas menurunkan berat badan sebanyak 21 kilogram. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.