Mercun: pelajar hampir hilang tiga jari

BESUT – Tiga batang jari pelajar sebuah sekolah sekolah menengah di sini cedera parah apabila botol kaca berisi belerang mercun meletup ketika dia bermain di halaman rumahnya di Kampung Taman Tasik Kuala Besut dekat sini malam tadi.

Sebelum kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, Muhammad Ridwan Abdul Rashid, 14, mengisi belerang dari beberapa biji mercun bola ke dalam botol kecil berukuran 10 sentimeter panjang untuk diletupkan kelak.

Abang mangsa, Azlan Shah, 34, memberitahu, sebelum ini adiknya tidak pernah bermain mercun sebegitu tetapi malam tadi dia cuba melakukannya bersama kira-kira 10 orang rakan di sekitar taman tersebut.

Katanya, Ridwan dikatakan menyumbat belerang ke dalam botol tersebut menggunakan kertas dan straw plastik sebelum memasukkan sumbu untuk dicucuh dan dilemparkan.

“Ridwan mengajak kawan-kawannya melihat dia membaling botol berisi belerang tersebut yang meletup lebih awal di tangan kanannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Tasik Kuala Besut di sini petang ini.

Ekoran kejadian itu, tiga jari iaitu ibu jari, telunjuk dan jari hantu hampir hancur.

Mangsa dibawa ke Hospital Besut oleh bapa saudaranya, Faizol Mohamad, 39, dan kemudian dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kota Bharu untuk rawatan lanjut. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.