Pegawai Jong-un tiba di Singapura

TOKYO: Pegawai kanan Kim Jong-un tiba di Singapura semalam, sekali gus memberi petunjuk bahawa sidang kemuncak bersama Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang kerap kali dibatalkan sebelum ini akan berjalan seperti dirancang.

Stesen televisyen Jepun, NHK, melaporkan Ketua Pegawai Jong-un, Kim Chang-son, terbang ke Singapura melalui Beijing malam tadi.

Pada masa sama, sekumpulan pegawai kerajaan AS termasuk Timbalan Ketua Pegawai Operasi Rumah Putih, Joe Hagin, berlepas dari Pangkalan Udara AS Yokota di Jepun, semalam.

Menurut Rumah Putih, kumpulan pegawai berkenaan berada di Singapura untuk mengadakan pertemuan bersama delegasi dari Korea Utara.

Laporan itu memberi petunjuk bahawa perancangan untuk sidang bersejarah itu yang pada mulanya dijadualkan pada 12 Jun akan berlangsung semula, selepas dibatalkan Trump minggu lalu.

Sehari selepas itu, Trump berkata beliau akan menimbang semula dan pegawai dari kedua-dua negara akan bermesyuarat untuk berbincang mengenai acara itu.

Terdahulu, Jong-un dan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in, mengadakan pertemuan mengejut di perkampungan sempadan di Panmunjom dan bersetuju bahawa sidang antara Korea Utara dan AS perlu diteruskan.

Jae-in turut tidak menolak kemungkinan untuk mengadakan lebih banyak pertemuan tidak dirancang antara kedua-dua pemimpin Semenanjung Korea itu sebelum sidang terbabit diadakan. – Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.